Sempena alumni dinner jenan malam minggu lepas yang aku berkesempatan untuk joint alumni2 lain, sedikit catatan mengenang kembali cerita lama Jenan.
AKU DAN SMSAH JENAN 1984
2.0 SEKOLAH MENENGAH
Setelah mendapat keputusan Empat A dan satu B dalam peperiksaan penilaian darjah Lima, aku ditawarkan belajar di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah. Aku berada di sini dari tingkatan satu sehingga Matrikulasi UKM.
Aku ke Jenan bersama kawan sekolah Paya, Khairul Azni yang kemudiannya kami panggil Tok Moh.
Sekolah ini yang terletak di Jitra dan berada di dalam kawasan ladang getah Jenan. Disebabkan inilah sekolah ini lama-lama di kenali sebagai Jenan sahaja. Jenan adalah salah sebuah sekolah Berasrama Penuh yang terawal di Malaya.
Setelah persiapan di buat, bapak menghantar aku ke Jenan pada 1 januari 1980. Itulah kali pertama dan terakhir bapa aku ke Jenan. Dia tidak ke sana lagi melawat selama enam tahun aku berada di sana. Aku selepas itu pergi balik ke sekolah sendiri dengan bas Kangar – Alor Setar walaupun di awal atau akhir tahun. Selain dari keluarga kami tiada kereta sendiri, belanja pun boleh jimat bila naik bas. Aku pun jarang-jarang balik kecuali bila cuti sekolah sahaja.
Kemudiannya bila aku ke Sekolah Alam Shah di Cheras pun pergi sendiri dengan kawan-kawan. Begitulah asam garam belajar zaman dahulu berbanding sekarang yang mak dan bapak ada yang tiap-tiap minggu pergi melawat anak di asrama.
3.0 RUMAH SATRIA
Di Jenan, aku ditempatkan di rumah merah, yang dipanggil Satria. Rumah-rumah lain semasa itu adalah Pendita, Juara, Wira dan Cendikia.
Kemudian semasa aku di tingkatan tiga, sistem rumah di ubah dengan menambah satu rumah lagi iaitu Andeka.
Rumah Satria berada di Blok B bersama-sama Pendita. Kami di tingkat satu dan Pendita di tingkat dua. Manakala di tingkat bawah adalah rumah cikgu Wahab yang menjadi warden. Aku berada di situ sampai tingkatan dua. Semasa tingkatan satu kami tinggal bersama-sama abang-abang tingkatan dua. Abang tingkatan dua yang menjadi abang bawak aku adalah radzif mokhtar. Manakala yang lain yang aku masih ingat abang ismail sahak, ku shahidi, effendi manaf, che harun, arwah zamri toran dan lain-lain yang aku dah lupa.
Manakala sahabat-sahabat tingkatan satu di dorm itu adalah Hassan badri, khairul azni ( Tok moh ), shahabuddin ( kuda ), rahman, zainuddin salleh ( seniak ), suhizan, Rostam, Rashid mat ali, faisol, serta arwah ridzal ramli dan sheikh mahadir.
Salah seorang kawan Jenan yang tak dapat aku lupa adalah Hassan Badri, berasal dari Serdang, Kulim yang duduk di sebelah katil aku hanya berada di Jenan setakad tingkatan satu sahaja. Bila tingkatan dua, dia sudah balik ke Kulim dan tiada siapa mendapat maklumat tentang dia sehingga sekarang. Dia telah kehilangan bapa sejak kecil dan masa melapur diri di Jenan di hantar oleh abangnya.
Selain Hassan, sahabat lama dari sekolah Paya, Khairul Azni juga di rumah Satria sekali dengan aku. Tapi lama-kelamaan orang dah lupa nama sebenar dia bila ada kawan yang mula memanggil dia Tok Moh. Aku pun kurang pasti asal usul dia di panggil macam tu.
Selepas sistem rumah asal dibubar, kami telah terpisah. Aku di Cendikia dan dia di rumah Juara. Kami masih se blok B Cuma aku di tingkat dua dan dia di tingkat satu.
Kawan-kawan Perlis di dorm Satria selain dari aku dan Tok Moh adalah suhizan, Rostam dan sheikh Mahadzir. Suhizan orang Beseri manakala Rostam pula dari kampong salang, Batu Dua Jalan kaki bukit. Sheikh pula dari Kampung Dato Kayaman. Semasa aku menulis cerita ini, tahun 2018 Sheikh sudah hampir seminggu meninggal dunia. Arwah mengidap penyakit kencing manis dari tingkatan dua dan kehilangan pengelihatan dalam usia tiga puluhan. Akhirnya dia meninggal di Hospital Kangar pada usia lima puluh satu tahun.
Selain dari geng rumah Satria, kawan-kawan Perlis yang lain pun ramai juga. Zaman tu majoriti pelajar adalah dari kedah, perlis dan penang.
Di sinilah aku bermula hidup sendiri dengan kawan-kawan. Dari siapkan katil sebelum sekolah sampai ke basuh baju semuanya buat sendiri. Zaman tu basuh baju dengan tangan dan pergi jemur di tempat sidai kain. Nasib tak baik baju di jemuran hilang bila orang sapu atau tersilap ambil. Makan pula di dewan makan. Kalau lambat juga entah apa makanan yang tinggal. Walaubagaimana pun aku survived dan tiada perkara buruk berlaku sepanjang masa tingkatan satu. Abang senior yang sedorm pun agak baik juga walaupun adalah sikit-sikit terover sana sini. Maklumlah budak asrama. Cuma bila kami terover main bola dalam dorm, cikgu Wahab yang duduk bawah bengang, masing-masing kena kutil kat perut.
23.4.2019
Sri Andalas