AKU DAN SMSAH JENAN 80 - 84.
Nadwah Dan persatuan agama Islam.
Aku boleh kira dalam kategori budak usrah Jenan, tapi istiqamah usrah pun masa tingkatan satu saja. Abang-abang ketua usrah masa tu seperti Iskandar Mat Amin, Nasiruddin sharif ( PLO ), Zulkifli Yahya, Arwah Said dan beberapa orang lain yang aku sudah tak ingat. Lepas tu kadang-kadang joint, kadang tidak. Kalau tidak joint usrah, aku dok jalan-jalan kawasan sekolah atau lepak di asrama dengan geng yang tak minat wayang.
Munkin itu antara sebab nama aku naik untuk menyertai Nadwah Kepimpinan Islam di Kolej Islam Klang ( KIK ) masa di tingkatan empat bersama beberapa orang kawan seperti Dahalil, pak Jab, arwah Pak Wan, Pak Non, Sudin inspector, Azam dan Nazri Mahadzir.
Kolej Islam Klang adalah pusat pembelajaran agama yang tersohor di Malaya. Asalnya adalah Kolej Islam Malaya untuk melatih anak-anak Malaya bijak mendapat diploma dan melanjukan pelajaran ke Timur Tengah atau menjadi terus menjadi ustaz. Sekolah ini kemudiannya di ambil oleh kementerian dan namanya bertukar ke Kolej Islam Klang. Pelajar-pelajarnya di ambil untuk tingkatan empat dan enam sahaja. Pelajarnya dari sekolah-sekolah agama seluruh Malaya. Kemudian di tukar nama menjadi Kolej Islam Sultan Alam Shah atau KISAS. Sampai sekarang masih menjadi kilang mengeluarkan orang-orang tersohor dalam bidang-bidang lain selain dari agama. KIK adalah jagoan dalam debat/bahas. Jenan dulu adalah rival mereka dalam bahas Piala Perdana Menteri. Lagi-lagi bila pernah menumpaskan mereka di final.
Kami ke Kuala Lumpur dengan keretapi. Aku tak ingat samada kami ke Klang kemudiannya dengan keretapi atau di jemput dengan bas KIK. Sampai di sana kami ke asrama dengan budak-budak SBP yang lain. Dalam dorm tu yang aku masih ingat ada budak Sains Selangor. Menarik juga bila puak-puak sekular bertembung dengan orang agama. Mula-mula semuanya berjalan lancar tapi kawan kami arwah pak wan sudah mula bertanyakan soalan yang berat-berat. Habis dua minggu kami di sana dengan berbagai-bagai aktiviti. Tapi kawan aku Pak Wan yang aku kenal dulu sudah tak sama lagi.
Cerita aku dengan Klang ni bukan tamat setakat nadwah saja. Rupanya sepuluh tahun kemudiannya ceritanya bersambung bila aku berkahwin dengan cikgu Arabic situ dan dia masih mengajar sampai sekarang dan nampaknya akan pencen di situ. Selalu sangat aku keluar masuk KIK sejak lebih Dua puluh tahun .
Aku pun terus buat keputusan untuk menetap di Klang dengan membeli rumah di Taman Sri Andalas. Entah apa yang berlaku dulu sehingga tuhan kemudiannya memilih aku untuk menetap di sini. Percubaan untuk keluar dari Klang tak pernah berjaya, terutama bila aku semakin kerap outstation.
Semasa di tingkatan lima tiba-tiba masa pemilihan untuk menjadi ketua persatuan Agama Islam atau pengerusi, nama aku naik untuk bertanding dengan calon favorite, Mat Rejab. Mat Daus rakan sekelas 5 sains satu yang dengan spontan mencalonkan nama aku dan terus kempen budak-budak junior untuk sokong aku. Yang aku hairan sejak bila Mat Daus ikut persatuan ni. Dengan takdir Allah aku jadi ketua persatuan dan keadaan ini meletakkan aku dalam keadaan yang sangat sukar sebab persahabatan aku dengan Mat Jab dan juga cara amalan aku yang berbeza dengan orang Kedah. Kesian ustaz Jaafar bila aku yang menang. Sedih sangat dia tapi bila Mat Rejab hendak melepaskan jawatan naib pengerusi, kami sama-sama pujuk dia untuk teruskan sampai habis tingkatan lima. Jawatan pengerusi ini kira macam Presiden Badar sekarang. Anak-anak aku sampai sekarang tak percaya yang bapaknya dulu pernah jadi orang kuat persatuan agama walaupun duduk di SBP. Tapi aku sekali sekala terpaksa juga aku menjadi imam untuk warga Jenan bila tiba waktu berjemaah di masjid. Nasib baik juga dulu ada pelajar-pelajar matrik dan tingkatan enam yang lebih alim untuk menjadi imam.
Semasa aku menjadi pengerusi itu, buat pertama kalinya kami membuat nadwah peringkat sekolah dan aku telah mengetuai dan memberi ucapan pembukaan untuk pelajar-pelajar Jenan.
Semua ini menjadi antara kenangan manis aku di Jenan sampai ke hari ini.
27.4.2019
Ampang