Monday, May 20, 2019

Jenan di mana-mana 27

AKU DAN SMSAH JENAN 80 - 84.

Jenan di mana-mana – 27.

Penutup.

Seorang lagi senior jenan yang aku jumpa semasa outstation adalah tuan haji Bahrin batch 78. Semasa semaktab masa menunaikan haji dulu aku tak pernah terserempak dan cam dia. Yang aku jumpa masa tu adalah Dr Dinon dan Kossin batch 85.

Satu hari semasa aku sedang sedap makan biryani di Restoren Biryani Power Batu Pahat dengan site staff, tiba-tiba si Qs Rafidah bagitau, bos ada orang tu tengok-tengok bos. Bos kenal ke? Aku pun panggung muka dan tengok, eh… itu kawan FB saya, senior sekolah. Aku kemudian bangun dan bersalam dengan dia. Jauh dari JB datang makan biryani. Ada meeting dengan geng Bank Rakyat rupanya. Menarik, jumpa orang Perlis yang kampong dekat-dekat di Bandar koboi Batu Pahat. Senior sekolah pulak tu.

Dengan cerita ini tamatlah Siri Jenan di FB ini. Aku minta maaf terutama kepada nama yang di sebut sebelum ini jika Ada posting atau perkataan yang menyinggung perasaan. Boleh PM tepi kalau nak di ubah atau delete.

Sebenarnya cerita-cerita ini adalah sebahagian dari biography aku sendiri yang sudah hampir di siapkan.
Penulisan ini hanyalah sebagai personal koleksi untuk memulakan sebuah tradisi menulis riwayat hidup dalam keluarga kami. Banyak maklumat tentang keluarga sebelum-sebelum datuk aku tidak di rekodkan Dan kini tiada siapa yang tahu. Ia jugak sebagai kenang-kenangan dari seorang anak kepada mak Dan bapaknya, dari bapa kepada anak-anaknya Dan dari seorang kawan kepada sahabat-sahabatnya.
Aku dengan ini mencabar anak-anak aku pula.

Sekian.

Al Fakir billah.

Engr Hj Rizlan Darus.
3 Ramadan.
Tasek permai, Ampang.

Jenan di mana-mana 26

AKU DAN SMSAH JENAN 80 - 84.

Jenan di mana-mana – 26

Senior jenan.

Betapa kecilnya dunia ini.

Dalam dok berborak dengan safety manager , Rosman yang baru sampai site aku, tiba-tiba dia bercerita pasal student di sekolah dia dulu yang sembelih kambing . Macam aku pernah dengaq cerita tu.
Terus aku tanya, sekolah jenan ke kes tu?
Terus dia terkejut, macamana tau?
Aku bagitau cerita tu fames sangat sampai ke Perlis dan aku hampir-hampir tak di bagi pergi sana.

Rupanya dia jenan80 masa aku form 1. Tapi tak selisih sebab dia lari. Terlebih hero kut. Tapi dia still sukses dalam bidang safety. Cerita tentang dia kerja di Papua New Guinea lagi menarik.
Sebagai kenangan dia bagi photo tukang sembelih kambing. Nama tukang sembelih pun femes juga. Aku kenai sangat sebab dia kawan FB aku.

Masa di projek tu ada lagi senior 81 dan 79. Ir Nasa81  adalah head of technical di syarikat main partner kami di Ampang. Masa jumpa dia aku terus saja kenal. Tapi dia pun tak cam senior dia, si safety manager tu. Dia kemudiannya jadi Project Director aku tapi tak lama. Sekarang dah kerja di tempat lain.

Ir Halim79  pula di Syarikat konsesi. Oleh kerana aku sudah kenal dia masa zaman Percon, tak susah nak ingat. Kisah aku mula kenal dia pun dah di tulis sebelum ini. Tapi tiga orang senior aku ni masih blur antara satu sama lain bila di temukan. Halim pun pindah kemudiannya dan tinggal aku saja di projek tu.

7.5.2019

Rawang.
Posting terakhir.

Jenan di mana-mana 22

AKU DAN SMSAH JENAN 80 - 84.

Jenan di mana-mana – 22
Ex-Jenan di Andalas.

Aku mula berada di Klang selepas berkahwin pada tahun 1995. Mula-mula sewa di Taman Bertik. Lepas tak setuju dengan saudara tuan rumah yang suka hati datang masuk rumah, aku pindah ke Kampung Jawa dan sewa rumah tokey Nasi Lemak Lido. Tiga tahun kemudian baru pindah ke rumah di Andalas. Oleh sebab lepas tiga bulan pindah, aku terus start outstation , aku tak sempat kenal orang-orang situ.

Satu hari masa cuti, aku pergi breakfast di kedai makan MPK di Seri Serawak dengan pakai t-shirt Alumni Jenan, tiba-tiba masa nak duduk makan datang seorang dan salam sambil bagitau saya pun Jenan juga. Dia bagitau saya ex jenan  73. Rumah dia terletak di kawasan orang yang terawal menetap di Andalas.  Setelah lama berborak baru tau dia seorang cikgu . Rupanya Cikgu Jaafar ni orang kuat MP kotaraja.

Jenan yang seorang lagi adalah senior batch 79. Sekarang Datuk Subri. Anak dia pernah sekelas dengan anak aku di Sekolah Rendah Andalas. Kami tahu pun bila pergi majlis berbuka puasa Jenan  di UTM Semarak. Nasib baik anak-anak kenal dan  baru tau bapak masing-masing ex-Jenan. Tapi datuk dah berpindah ke Putrajaya sekarang.

Seorang lagi Hanim batch86 yang duduk tidak jauh dari rumah aku. Yang ni pun tahu dia duduk situ melalui FB. Tapi dia kemudiannya sambung belajar. Busy sangat dia ni Dan susah nak jumpa.  Sekarang dah Ada balik sini.

Yang lain Dok area Klang ada  dua orang. Yang pertama azreen . Duduk area Palmgroove.  Satu lagi adalah pasangan Jenan Chained dan Enot. Diaorang dok di Bukit Kuda. Pasangan ni kami jumpa masa breakfast di Restoren Bismillah depan stesyen komuter.

Munkin Ada lagi Jenan di kawasan sini tapi belum Ada rezeki nak jumpa.

6.5.19
Andalas

Jenan di mana-mana 19

AKU DAN SMSAH JENAN 80 - 84.

Jenan di mana-mana – 19
Jenan di Kampung Paya.

Alhamdullilah pada bulan Jun 2014 beberapa sahabat jenan perlis termasuk cikgu sampai ke kenduri kahwin adik aku di Kampung Paya.

Antara yang sampai geng D Green Kak Ku dan Abg Abidin, Dr Rosli, Dr Dinon, Abg Mat Sukardi serta Cikgu Cendikia dulu, Cikgu Dollah. Dr Rosli batch 79 rupanya kenai adik aku yang pernah bekerja di Pusat kesihatan Alor setar. Dr Dinon pulak orang kampong sebelah dan sama-sama semaktab masa buat haji pada tahun 2011.
Mak long Pah, sepupu mak aku  pun sampai jugak.
Aku pula dah jadi tuan rumah sebab bapak kami dah Tak ada.

6.5.2019
Ampang.

Jenan di mana-mana 17

AKU DAN SMSAH JENAN 80 - 84.

Jenan di mana-mana – 17

Jenan 84 di Jalan Damak 26b

Alhamdullilah sampai jugak 12 orang jenan84 ke rumah aku sempena jamuan  hari raya puasa September 2013.  Lepas juga kpi aku untuk dapatkan sekurang-kurangnya 10 orang member batch aku.

Antara yang sampai Hanny, Noraisah dgn hubby. Budin dgn anak bujang. Siap bawa kek lagi bagi kat  aku. Mat Noq dan Che Tee seperti biasa, mai berdua saja. Ku Ai dan  Kak Diah dengan family. Conan, Derq dan Kerol jugak sampai  dengan family. Mak Aji, Siti Azani mai seorang saja. Roslina Pak Ya pun sampai dengan hubby. Rupanya hubby dia pun orang Klang di Kampung Raja Uda saja.

Last sekali Pak Ain dengan anak jantan dia datang dengan bawak mee rebus popular Hj Wahid dari JB. Sungguh terharu aku bila dia masak kuah mee di JB dan bawa all the way ke Klang. Perkakas dan bahan-bahan pun dia bawa sekali. Cuma kesian kat dia bila tayar four wheel   pancit di highway PLUS semasa dalam perjalanan.  Sebab tu dia sampai lewat sikit.

5.5.2019
Sri Andalas.

Tuesday, May 14, 2019

Muqadimah

ENGINE MANIA UKM.

1. Muqadimah.

Dengan keputusan yang mencukupu aku dapat menjejak kaki ke university. Aku bersyukur kerana akhirnya tuhan memakbulkan doa bapak dan mak aku.

Aku ditawarkan ke fakulti kejuruteraan. Untuk tahun satu kami terpaksa mengambil subjek2 umum sebelum masuk ke jabatan di tahun ke dua.
Cerita bagaimana aku tercampak ke Jabatan Kejuruteraan Awam dan Stuktur akhinya pun agak unik akibat tiada sebarang pengetahuan dan cita-cita tentang bidang kejuruteraan.
Pada satu hari kami disuruh mengisi borang untuk memohon ke jabatan-jabatan di dalam fakulti kejuruteraan.
Aku mula-mula hendak memohon kejuruteraan elektrik tetapi kawan yang duduk sebelah aku, Asparizam ( sekarang haji ) tiba-tiba ajak masuk jabatan kejuruteraan awam. Katanya ini lebih baik dan dan nanti ada juga kawan. Rupanya dia dah ditawar sebelum ini sebab dia bukan dari Matrik sekolah tapi dari matrik Australia yang tidak dapat pergi sebab ekonomi meleset. Aku pun terus setuju tanpa memikir apa-apa sangat. Lagipun aku pun tak jelas sangat pasal kejuruteraan ni.
Begitulah kadang-kadang cara tuhan mengtakdirkan sesuatu hal kepada kita. Kalau tidak, aku pun tak tahu apa yang jadi sekarang ni.

Selepas itu baru aku jumpa geng Matrik UKM Jenan yang jadi repeaters di sekolah lain iaitu Rozmay dan Mat Sahak.
Untuk tahun pertama aku tinggal di dalam kampus, iaitu di Kamsis Ungku Omar. Rupanya tahun itu pihak puak2 pro-kerajaan memenangi pilihanraya kampus dan membuat beberapa perubahan. Salah satunya mencampurkan mahasiswa tahun satu dengan bangsa lain. Roomate aku masa di kolej adalah Darwinder singh. Tapi dia selalu tak ada dalam bilik sebab senior-senior singh selalu ajak dia keluar.
Pasukan yang kalah dalam election adalah senior Jenan aku yang pernah jadi ketua pengawas, Mustapha kamil ayub. Dia kalah agaknya sebab kes menentang pihak university yang memanggil penyanyi sudirman membuat konsert di dalam kampus.
Tapi cara-cara mereka di kampus tidak menarik minat aku yang lebih suka belajar dan membuat hal sendiri dengan geng kejuruteraan. Akibatnya aku tidak terlibat langsung dengan persatuan-persatuan dan kelab di university.
Sekali-sekala saja aku menjengah ke persatuan anak-anak perlis untuk mendapat maklumat-maklumat tertentu. Aku juga tidak terlibat dengan grup-grup dakwah yang macam cendawan tumbuh pada masa itu seperti Pas, Abim, Tabligh, Arqam dan lain-lain.
Aku tinggal di kampus, Kamsis Ungku Omar pada tahun pertama sahaja.
Tahun kedua aku dengan grup engineering tinggal di Taman Kajang Jaya. Aku terpaksa membeli sebuah motosikal untuk berulang-alik ke kampus Bangi.
Tahun ketiga kami menyewa di Teras Jernang. Rumah sewa yang dibuat khas untuk sewaan terletak jauh dari jalan raya. Berada di kawasan sungai berdekatan dengan lebuhraya PLUS dah sebuah batching plant konkrit. Kami menyewa di sana selama sehingga habis tahun empat. Bila balik waktu malam memang sukar. Aku pernah mengalami balik lewat kelas bahasa inggeris, malam jumaat dan dalam hujan renyai-renyai. Tiba-tiba motor Honda aku mati di tengah hutan kerana plug basah. Masa aku tengah buka plug macam-macam bunyi aku dengan dari hutan Bangi tu. Alhamdullilah ada seorang yang berhenti dan menyuluh aku sehingga selesai. Kalau tak entahla apa nak jadi kat aku.
Tapi dalam keadaan begitu, kami selalu keluar ke kajang dengan motosikal di tengah-tengah malam untuk makan-makan dan lepak di kajang.

15.5.2019
Rawang

Jenan di mana-mana 16

AKU DAN SMSAH JENAN 80 - 84.

Jenan di mana-mana – 16
Jenan84 di  Bakaugruv.

Pada bulan Februari 2013, puak-puak  84 sempat mengadakan small gathering di  Resort Bakaugruv di Kampong Batu Laut, Sepang. Walaupun tak ramai tapi berbaloi sebab lama tak jumpa. Member-member yang joint adalah Mat Nog, Cek Tee, Suhairi, Met, Norazam, Pak Ku Ai, Kak Diah, Hanny, Roslina Pak Ya dan Siti Azani. Ramai yang pergi dengan family tapi aku dan Met  mai solo. Aku pulak  singgah dari Batu Pahat on the way balik ke Klang.

Yang menariknya tokey resort ni adalah senior kami di Jenan batch 82. Marul ni orang Perlis dari Jalan Kaki Bukit batu dua. Tiga batu jauhnya dari rumah arwah pak aku di Paya.
Berbaloi jugak dia bersusah payah memulakan resort ni. Banyak juga info yang memberi inspirasi yang di ceritakan kepada kami. Siapa yang hendak tahu  kena melawat dia sendiri. Fenomena air pasang boleh di rasa di sini. Kalau minat tangkap ikan di laut dan dalam kolam pun boleh cari dia.

Masakan kampung sini best. Kambing bakaq yang paling sedap.
Si Suhairi dan Pak Ku Ai balun sakan hari tu.

4.5.2019
Sri Andalas

Jenan di mana-mana. 15

AKU DAN SMSAH JENAN 80 - 84.

Jenan di mana-mana – 15

Pada March 2012  dapat juga diadakan satu teh tarik session di Subang Jaya  dengan puak jenan84 sempena meraikan si Pak Tam dan Arma yang datang dari jauh. Pak Tam datang dari Penang manakala si Arma dari Kelantan.

Korum kali ini cuma enam orang tambah satu budak junior, Azreen. ( macamana si Arma dapat cari nih..). Azreen ni rupanya tinggal di Klang dekat Satu perumahan sebelah kanan Jalan Klang – Banting sebelum hospital TAR.

Cerita menarik malam itu adalah berkenaan sahabat batch kami pilot CD yang baru balik dari menunaikan haji. Semoga  ianya menjadi motivasi untuk kawan-kawan yang lain.

4.5.2019
Tasek permai.

Jenan di mana-mana 14

AKU DAN SMSAH JENAN 80 - 84.

Jenan di mana-mana – 14

Pada bulan January 2012 dengan tak disangka aku menerima kunjungan seorang kawan lama  jenan batch 84.

Dia Masa tu sedang bekerja di Kelantan datang ke rumah abang dia di Sri Andalas.  Abang dia ( the original ARMA ) pulak salah seorang kenalan aku dan ummi di sini.
Setahun sebelum itu dia sangat terperanjat bila kami berjumpa semasa kenduri kahwin salah seorang anak abangnya.  Aku memang sengaja tak bagitau yang adiknya aku kenal dan kami pernah bersekolah bersama-sama dulu.  Jiran aku pula adalah sedara kepada isteri dia. Dia sebelum itu sudah beberapa kali datang rumah sedara dia tapi kami tak pernah bertembung. Dia pun tak banyak berubah sekarang ni.

Dua tahun lebih kami bersama-sama di dorm Satria  sebelum aku ke rumah baru Cendikia. Masa tingkatan empat dan lima, dia di kelas 5 sains 2. Kemudiannya kami terus lost contact. Dia dulu suka contiang nama femes dia ‘ARMA was here’ di mana-mana dinding Jenan.

Kemudiannya anak dia, Zainal dan Pak Ain pula   menjadi student ummi kat Kisas / KIK.
Sungguh keciknya dunia ini.

Terimakasih ARMA kerana sudi datang umah dengan tiga dari dua belas anaknya.
Dia adalah salah seorang yang paling ramai anak dalam batch kami.

4.5.2019.
Hulu Langat.

Jenan di mana-mana 13

AKU DAN SMSAH JENAN 80 - 84.

Jenan di mana-mana – 13
Sunday, June 26, 2011

Akhirnya pada jun 2011, iaitu selepas 27 tahun keluar dari Jenan aku dan kaptain Zul dapat berjumpa juga dengan brader batch kami yang sebelum ni hilang terus dari radar  di Restoren  Jayati, Shah Alam. Kaptain yang dapat trace dia dulu.

Md rusli namanya. Dulu kelas 5 sains 3, rumah Wira. Sekarang dah jadi orang besar gomen dan sentiasa sebok.
Sambil tibai keropok lekor, banyak cerita menarik semasa dan selepas yang tak ready  aku nak kongsi di sini. Ada rahsia aku yang dia tahu rupanya. Dia juga pernah beberapa tahun tinggal di Serawak.

4.5.2019
Ampang

Jenan di mana-mana 12

AKU DAN SMSAH JENAN 80 - 84.

Jenan di mana-mana – 12
Friday, March 4, 2011

Setelah balik dari Bosnia, assignment seterusnya adalah di Ayer Kroh, Melaka. Di Melaka ada beberapa ex jenan yang dapat di kesan melalui FB.
Akak Noorin Fariza batch 83 sebelum ni dah jumpa masa balik raya di Perlis. Dr Kahar senior 70an juga di Melaka tapi langsung tak sempat jumpa. Cuma sempat bermessage saja. Lagipun sebab dah lama outstation, bila ada peluang cuti atau weekend aku cepat-cepat cabut balik Klang.
Ada seorang junior 86, Linda sempat berselisih di Maidin Mall. Tapi sebab dah tak kenai, tak sempat borak apa-apa.

Selain dari yang bermastautin di Melaka, ada juga yang datang dengan hal tertentu dan kami dapat jumpa. Mula-mula captain kapal, KTL yang bawa aku maka lunch makanan Nippon di sebuah hotel tengah Bandar.

Seorang lagi brader batch aku Suhairi yang datang untuk kerja-kerja IT di  Pejabat Tanah di Ayer Kroh. Dua kali sempat jumpa dia. Pada kali kedua kami pergi lunch pekena nasi arab  di Bukit Beruang. Kali ini aku sempat keloi akak Noorin untuk joint sekali. Dua-dua blur sebab tak pernah kenal mengenal semasa di Jenan walaupun batch dekat-dekat.  Akak yang belanja masa.

Aku di Melaka tak lama, hanya setahun lapan bulan. Kemudiannya balik ke PJ untuk assignment terakhir dengan syarikat itu.

3.5.2019
Tasek permai

Jenan di mana-mana 5

Tenkiu cek Tee mengingatkan balik Hal ni.  Terpaksa gostan sat.

AKU DAN SMSAH JENAN 80 - 84.

Jenan di mana-mana - 5

Masa di projek AKLEH, Kuala Lumpur  aku dapat jumpa balik sebahagian kawan-kawan batch 84 aku. Masa ini ramai yang baru berkahwin dan anak-anak kecil lagi. Nasa pula baru nak melangsungkan perkahwinan dan dia menjemput kawan-kawan lain. Oleh kerana masa itu aku masih kurang arif dengan kawasan Kl,  terpaksa ke rumah Mat Noq dan Cek Tee dulu di TDAR di Ampang untuk ikut mereka ke rumah NASA.  Aku pergi dengan kembar yang Masa tu baru berusia tiga tahun sebab Ummi tengah pantang setelah melahirkan anak kami yang ketiga. Sahabat lain yang ikut adalah Suhairi, Khairul Dan Met. Mat naset pula masih bujang Masa ni.  Disitu juga kami jumpa Bazlan, junior cendikia. Kenapa dia ada di situ juga aku pun tak pasti.

Nasa juga berkahwin dengan orang Kuala Terengganu. Selain dari aku dan Nasa, Azam juga berkahwin dengan orang Terengganu. Ketiga-tiga mem Ganu ni adalah cikgu. Beberapa tahun kemudiannya baru aku tahu Shukri G juga berkahwin dengan orang Kuala Berang.
Rupanya ramai juga puak-puak Jenan lain yang kahwin dengan orang Terengganu ni. Yang dapat di kesan, senior 83 Asri kahwin dengan kawan engineering kami, Noorma. Junior batch 85 Farah pula kahwin dengan abang si Noorma. Sorang lagi junior Yusri batch 85 orang Texas@ Tassoh pun kahwin dengan orang Dungun.  Ada dua orang lagi batch 85 Che A dan Mat kahwin dengan orang Kuala Terengganu. Tapi kami sekali pun tak sempat buat gader-gader raya  sebab timing selalu out sebab diaorang nak balik Kedah jugak.

Harap2 tahun dapat gader2 dengan depa.

3.5.2019.
Kampung Tasek permai.

Monday, May 13, 2019

Jenan di mana-mana 11

AKU DAN SMSAH JENAN 80 - 84.

Jenan di mana-mana – 11

Setiap tahun  aku balik raya bergilir-gilir antara Perlis dan Terengganu.  Ini Kira aggrement Dari dulu sebab jauh sangat nak balik dua2 tempat.
Pada raya tahun 2010, di bulan September, adalah giliran beraya ke Perlis. Pada hari raya kedua program tahun tu adalah ke rumah geng Jenan.

Rumah pertama adalah di rumah rostam batch84. Ada berbagai makanan termasuk  laksa perlis yang power. Rumah family dia ni terletak di kampong Salang Jalan Kaki Bukit iatu beberapa batu saja dari rumah keluarga aku.
Antara yang hadir  selain Rostam adalah rosaidi, md nor  dan Cek Tee, yusri bauk dan suhairi.

Rumah kedua pula adalah  rumah  senior batch 83 di taman melati indah, Beseri. Rumah mak long Pah itu adalah satu taman dengan bapak saudara aku, Pak Ndak Rahman.
Geng depa  yang hadir pula adalah  abang dan akak-akak  Jig, Mail Sahak, Syed G, Sukardi, Azlin, Noorin, Ija dan tuan umah Azifah merangkap mak long aku.

2.5.2019
Ampang.

Jenan di mana-mana 9

AKU DAN SMSAH JENAN 80 - 84.

Jenan di mana-mana – 9

Laman Facebook adalah medium baru yang lebih canggih berbanding dengan Yahoogroup. Aku di perkenalkan dengan FB ini masa aku tinggal seorang diri kesunyian di Tamil Nadhu, India oleh kawan UKM  aku brader Suntara.

Tapi masa tu belum ramai Geng Jenan yang joint. Bila aku balik dan siapkan projek di Gong Kedak, kemudiannya balik HQ di Plaza Hamodal, keadaan sudah berubah.
Melalui FB yang sudah mula popular, ramai ex-Jenan muncul di alam maya. Dulu di alam maya juga generasi yang dekat antara satu sama lain telah dapat di connect melalui laman Smsah.com. Kematiannya telah memutuskan hubungan  geng-geng alam maya Jenan terutama beberapa generasi 80an. Kini FB menjadi platform terbaru dan geng yang sama muncul. FB datang dalam bentuk baru yang membolehkan kita post gambar. Habislah gambar-gambar lama Jenan di scan dan di share di FB. Posting-posting gambar selalu mendapat banyak komen yang mengingatkan cerita lama di Jenan.  Ramai yang sudah Tak cam antara Satu sama lain. Mula Dan body dah lain. Hanya name Dan gelaran saja yang ingat. Ada jugak yang ingat gelaran saja. Nama betui langsung dah Tak ingat. Sampai bila nak bercerita di alam maya sahaja. Semua orang sudah tak sabar hendak berjumpa .

Atas inisiatif brader83, Pak Syed Ghazi beberapa orang di kumpulkan untuk menjalankan projek gader-gader di alam nyata pula. Semua discussion  adalah di FB saja. Antara team terawal selain dari syed dan aku, kak Marini, abang abbas, Jamek dan junior seperti Mat Jais, Siti Noro, Lunar, kak suraiya Dan beberapa junior,  kami telah memulakan projek x-jen 5 generasi . Atas cadangan akak suraiya tempat yang di pilih adalah di KGPA petaling Jaya. Akhirnya perjumpaan di alam nyata yang telah berjaya menarik ramai ex-jenan telah Berjaya di adakan pada 25.12.2008. Aku tak bercadang hendak menulis dengan details apa yang berlaku masa perjumpaan itu kerana ramai di sini sudah tahu. Tapi pada aku ia adalah revolusi kepada gader2 kemudiannya.

Bulan januari berikutnya aku  pergi outstation lagi di Sarajevo untuk assignment selama enam bulan dan laman FB menjadi  tempat aku terus connect dengan sahabat-sahabat Jenan. Tapi Ada beberapa geng awal seperti bro Abbas wahidudin telah hilang terus Dari FB.

1.5.2019
Klang.

Jenan di mana-mana 8

AKU DAN SMSAH JENAN 80 - 84.

Jenan di mana-mana - 8

Pada hari selasa , July 6, 2010 aku ke JKR HQ untuk satu mesyuarat dengan pengarah kawal selia. Tiba-tiba  lepas keluar mesyuarat, tengah dok lepak-lepak sebelum balik ke Melaka tiba-tiba ada seorang mamat ni tengah dok  sebok talipon. Bila pusing tengok, ahh…..si Munadi rupanya. Dia adalah junior setahun aku ( batch 85 )  kat sekolah Jenan dulu.

Lama sungguh tak jumpa dia. Sejak aku balik ke matrik Jenan  dan depa Masa itu di tingkatan lima, terus lepas ty tak pernah jumpa secara live lagi. Sebelum ni jumpa kat alam maya ja.
Sedaq tak sedaq Masa tu dah lebih 25 tahun aku tak jumpa dia.

Rupanya dia sekarang tengah dok promosi jual cat.  Promoter hebat dia ni.
Sorrylah bro, kami ni  cat jalan buleh la...lain-lain tarak.

Nasib baik ada kawan aku si BZ  untuk tulung ambik gambaq kami berdua.

1.5.2019
Sri Andalas

Jenan di mana-mana 7

AKU DAN SMSAH JENAN 80 - 84.

Jenan di mana-mana - 7

Setelah balik dari India kali pertama, aku di hantar  ke projek di sempadan Terengganu dan Kelantan. Setelah projek tu hampir siap, end user yang akan menggunakan facility pun mula masuk ke situ. Salah seorang pejuang itu adalah  senior Jenan tahun 1981. Namanya di rahsiakan atas sebab military dan dia dulu di Jenan adalah penduduk Kampung Dodoi di Wira, Walaupun dia bukan ketua Kampung tu tapi aku ingat dia salah seorang penduduknya.  Budak-budak tingkatan satu memang ketaq kalau lalu kawasan kampong tu. Kami yang tingkatan dua  pun seram jugak. Nasib tak baik, kena panggil mengadap. Aku tak ada pengalaman di panggil sampai ke tempat bersemayam depa. Cuma pernah kena interview sampai tangga saja. Lepas tu dia suruh aku blah saja. 

Menarik dapat berborak dengan brader WH tu. Banyak dan macam-macam experience dia .Dia macam dulu saja. Nampak cool dan relax saja. Walaupun dia orang kampung tu tapi tak la Nampak bergerun sangat. Aku ada di situ sampai projek siap dan selalu sempat tengok depa berlatih. Masa dalam period maintainance aku selalu ke sana sebulan sekali untuk meeting dan memeriksa apa yang kami dan handover lebih-lebih lagi system paip minyak yang banyak bawa masalah.
Pertalian aku dengan projek itu berakhir bila aku kemudiannya terbang ke Sarajevo untuk assignment yang lain.

Jenan di mana-mana 6

AKU DAN SMSAH JENAN 80 - 84.

Jenan di mana-mana - 6

Zaman akhir 90an walaupun handphone dah ada tapi harga masih mahal. Tak semua orang boleh beli. Tapi ledakan internet telah menjadi medium baru untuk berhubung. Aku mula-mula ada akaun internet Tm.net. Kemudiannya Hotmail. Bila yahoo muncul dan di tambah dengan ada Yahoogroup, ia menjadi pilihan ramai orang. Melalui yahoogroup ini lah batch 84 kami dapat reconnect balik.

Dari sinilah aku dapat tahu kawan kami Mr Daq dari Lembah Juara berada di Pahang. Dia ber datang jumpa aku dari Temerloh di pejabat aku di Gebeng Industrial area.  Sungguh terharu dia datang  setelah berpuluh tahun kami tak jumpa. Kali terakhir adalah semasa peperiksaan SPM.  Setelah berpeluk-peluk ala-ala arab, perkataan pertama yang keluar dari dia adalah , untunglah hang……………( sorry kena sensor sikit. Ni rahsia kami dua ). Untung apa aku kata.
Selepas tu kami pergi teh tarik dan berborak sakan. Rupanya dia dah jadi cikgu di sebuah SBP. Tak lama lagi hang jadi cikgu disiplinlah…............Aku gelak kat dia sambil membayangkan apa yang akan terjadi nanti. Kami berjumpa lagi kemudiannya di gathering batch 84 di Penang.

Di Kuantan ini juga aku berjumpa dengan beberapa orang Jenan. Seorang senior yang berkerja di Gebeng industrial area Batch Azhar Kasa. Tiga orang junior Zafuan dan Amin batch 87 serta seorang lagi yang aku sudah lupa nama. Geng Jenan Kuantan ini di kesan melalui satu portal alam maya Smsah.com yang sekarang telah terbunuh atas sebab-sebab teknikal yang tak dapat di elakkan . Hari ni Ramai yang tidak tahu lagi kewujudannya . Ramai yang sempat order sticker kereta Smsah.com dan aku telah letakkan di Nazaria aku kemudiannya.

30.4.2019
Ampang

Sunday, May 12, 2019

Jenan di mana-mana 5

AKU DAN SMSAH JENAN 80 - 84.

Jenan di mana-mana - 5

Satu hari semasa meeting antara semua projek  manager dengan bos,  aku terpandang satu nama yang familiar dalam list. Dia cakap banyak dengan slang Kodiang yang pekat. Dia tak la famous sangat di Jenan tapi sebab dia budak Satria terus nama tu ring the bell. Nama dia Azhar Kasa. Habis meeting masa kami pergi lunch, terus aku tanya dia, hang Jenan ka? Untungnya dia tak ingat aku. Bila geng manager lain senyum-senyum pasal dia tak ingat kat aku, terus dia coverline, biasala senior mana ingat junior. Junior la yang kena ingat kat senior. Hahaha…bagus punya ayat.
Dia masa tu baru joint dan  jaga projek UIA di kuantan.  Aku kemudiannya ke projek Jalan Gebeng yang terletak di Kuantan juga. Di situ dia kemudiannya introduce aku kepada dua lagi senior Jenan yang ada di JKR Pahang. Seorang nama Ir Sahimi ( Dato? ) dan seorang lagi Ir Hj Rahim Goon, pengarah jalan yang juga involved dengan projek Gebeng aku. Aku selalu jumpa Hj Rahim selepas projek siap  bila aku ada urusan di  JKR HQ kemudiannya.

Aku lost contact sekejap dengan Azhar selepas aku ke India.  Tiba-tiba aku dengar dia ada di Chennai. Dan  berkerja dengan AZRB.  Kami kadang-kadang pergi pekena teh tarik di Restoren Pelita.  Oleh sebab masa tu dah ada handphone nombor, tak susah la nak cari dia kemudiannya.
Haji Rahim batch 76 pula kali terakhir aku jumpa masa dia dah berada di LLM dan kemudiannya aku dengar dia sudah bersara. Tiba-tiba masa dinner alumni baru-baru dia pun ada dan sempat berborak sikit. Sekarang bersara sepenuhnya dan tinggal di Sg Petani .

29.4.2019
Klang.

Jenan di Mana-mana 4

AKU DAN SMSAH JENAN 80 - 84.

Jenan di mana-mana - 4

Pertemuan dengan ex-Jenan yang ni lagi susah sebab kami tak pernah bertembung sekali sepanjang aku belajar di Jenan.
Dia batch SPM 1979, sekali dengan  lecturer aku dulu. Aku pula masuk tingkatan satu pada tahun 1980 setelah dia keluar. 
Setelah beberapa bulan aku joint site Ampang Kuala Lumpur Elevated highway yang site office di kampung Baru, tepi junction Jalan Sultan Ismail, satu petang aku berborak dan bertaaruf dengan senior engineer di site tu  yang namanya Ir Halim. Sampailah ke cerita dia orang Kedah ( Jerlun ) dan bila dia buka cerita budak-budak sekolah dia dulu pernah sembelih kambing di asrama, aku terus tanya, Jenan ka?  Dia terkejut macamana aku boleh tau cerita tu. Cerita ni memang viral oleh batch yang terdekat dengan  tahun akhir 70an dan awal 80an.  Rupanya dia dulu keeper bola Jenan yang handal. Makin panjang lah cerita dia Kat Jenan yang aku dengar.
Beberapa tahun kemudiannya aku baru tahu dia juga kawan kepada dua orang bos aku di  syarikat Bumihiway. Mereka sama-sama belajar di US.
Lepas projek tu hampir siap, dia kemudiannya berhenti dan aku pula ke project baru di Kerteh, Terengganu. Kami lost contact kemudiannya sehinggalah dapat reconnect melalui laman social FB.

29.4.2019
Klang

Jenan di mana-mana 3

AKU DAN SMSAH JENAN 80 - 84.

Jenan di mana-mana - 3

Kali pertama aku jumpa kembali beberapa kawan batch 84 aku adalah  bila aku baru grad dari UKM. Kawan-kawan aku masa tu menyewa di kawasan kampong Pandan yang aku ingat adalah Pak Non, Khairul, Mat Noq, Suhairi dan Julai. Depa dah mula kerja sementara aku baru dok cari kerja. Aku ke situ dengan motor dari rumah sewa di Bandar Baru Bangi fasa empat dan kemudiannya bermalam di situ. Banyak cerita tentang kawan-kawan lain dan ada juga beberapa cerita baru yang mengejutkan aku yang tak dapat di ceritakan di sini. Beberapa minggu kemudian aku dapat kerja di Ipoh dan terus lost contact dengan geng-geng aku yang lain.

Setelah aku berhenti dari Ireka Bhd, aku joint Percon Corporation yang Headquarters  adalah di Bangunan PNB pada tahun 1996. Aku berada di situ selama enam bulan sebelum ke site Kesas, Jalan Klang - Banting.
Satu hari sedang aku menunggu untuk naik di lift ternampak geng Jenan Cendikia dulu, Junaidi Abidin. Dia batch 1985 dan kami sama-sama rumah di rumah Cendikia yang baru di susun semula masa dia di tingkatan dua. Dia masa itu jadi internal auditor dengan salah satu anak syarikat PNB. Banyak info dapat bila kenai auditor ni. Aku dah tak dapat hubungi dia selepas aku pindah ke projek site di Terengganu.
Kemudiannya aku dengar dia dah balik ke Alor Setar bekerja dengan Perbadanan Negeri Kedah. Di situ Ada Che Jah batch aku, seorang quantity surveyor.
Dengan adanya FB aku dapat reconnect balik dengan dia lapan tahun lepas.

29.4.2019
Tasek permai.

Jenan di mana-mana 2

AKU DAN SMSAH JENAN 80 - 84.

Jenan di mana-mana - 2

Ex-Jenan yang pertama aku jumpa bila kerja adalah Sazali Harun ( Jenan83, sekarang Ir Sazali ) yang masa tu kerja dengan LLM. Dia datang ke projek package Ipoh – Simpang Pulai di bawah Ireka-GKM. Masa ARE, Maznillah panggil aku untuk introduce, terus aku Tanya, ni Sazali Harun ka? Dia terus hairan dan response, macamana hang kenai aku? Saya Jenan84, junior setahun. Aku tak ingat hang, katanya.  Kami pun tak borak lama sebab dah tak boleh connect lagi. Dia masih garang macam zaman sekolah dulu. Dia tak kenal aku sebab kami tak pernah serumah atau sekali dalam apa-apa aktiviti sekolah. Lepas semua kerja di tapak tu selesai, semua orang pergi dan aku langsung tak jumpa dia lagi selepas itu. 
Puak consultant lepas itu selalu Tanya macamana aku kenai brader ni dan macam-macam lagi. Walaupun selepas itu aku ada involve dengan highway lain seperti Shah Alam Expressway dan Ampang Kuala Lumpur Elevated Highway, aku tak pernah jumpa dia lagi  sehinggalah aku start kerja dengan  satu kontraktor di Sg Besi Ulu Klang Expressway.

Semasa di Ipoh juga aku ternampak kawan sebatch di pasar malam Gunung Rapat. Semasa sedang round pasar malam tu, aku ternampak Mahfuzah budak 5 sains 3 dengan adik dia, terus aku lalu tepi dia dan jerit nama glamour dia di Jenan kuat-kuat. Terus aku cabut dari situ. Bila dengar nama dia di seru, terus dia ligan aku nak comfirm sapa yang panggil dia. Masa jumpa aku gelak sakan kat dia.   Elok juga aku terjumpa dia sebab ada Hal yang sangat penting aku perlu comfirm dengan dia. Selepas update beberapa info pasal kawan-kawan Jenan , kami pun ikut hala masing-masing dan aku pun tak jumpa dia sehinggalah kami ada gader-gader di rumah kapten Zul sepuluh tahun kemudiannya.

28.4.2019
Sri Andalas

Tuesday, May 7, 2019

Jenan di mana-mana 1

AKU DAN SMSAH JENAN 80 - 84.

Jenan di mana-mana - 1

Setelah keluar dari Jenan, aku rasa sangat sukar dan jarang aku jumpa ex-Jenan di mana-mana. Munkin aku sudah tidak kenal atau ingat atau mereka dari batch yang tidak pernah sekali dengan aku. Networking tidak berapa baik pada zaman itu atas berbagai-bagai sebab. Lagipun Facebook belum ada lagi.
Kali ini aku nak tulis tentang ex-Jenan yang aku temui sepanjang aku belajar di UKM atau selepas berkerja.

Semasa di UKM , batch 84 hanya aku sorang. Hanya beberapa senior yang aku kenal seperti Wan Azam, Zaidi Othman, Zulkifli, Jailani dan Mustapha Kamil. ZO Dan JJ selain Dari ex-Jenan, mereka juga Dari sekolah keb. Paya, Perlis. Beberapa tahun kemudian baru aku tahu Kak Marini juga ada di sana.
Tiba-tiba satu hari semasa aku di tahun dua, seorang perempuan datang menyapa aku di Perpustakaan Tun Sri Lanang. Ni Rizlan ka? Ya. Hang pun ada sini. Kata aku. Dia adalah Rohaya, dulu budak kelas Sains Sosial yang datang dari Sekolah Sains Kedah masa tingkatan empat. Dia rupanya sedang belajar di fakulti FSKK. Setelah berborak sikit sebanyak, aku pun blah dan tak jumpa dia lagi selepas itu sehingga aku graduate. Rupanya Ada jugak batch aku situ.

Sebenarnya ada dua orang lecturer yang pernah mengajar aku semasa aku di Fakulti Kejuruteraan. Tapi dek kerana kurang maklumat dan interaksi aku tidak tahu langsung pada masa itu.
Yang pertama adalah lecturer geoglogi, Dr Ibrahim Komoo ( sekarang Datuk Prof ). Dia mengajar budak civil engine subjek pengenalan geoglogi. Sampai pergi ke Karak dan Bentong kami tengok batu. Berpuluh tahun kemudiannya baru aku tahu dia juga ex-Jenan. Tapi aku Tak pasti dia batch Mana.

Lecturer yang seorang lagi adalah lecturer jabatan civil aku sendiri. Dia mengajar subjek berkaitan dengan pengangkutan. Dia juga penyelia tesis final year aku. Masa aku ke Cameron Highland untuk survey camp pergi dengan dia pun aku tak pernah berborak pasal hal-hal luar kursus kami. Nama dia En Ismail Abd Rahman batch 1979. Aku miss setahun saja dengan batch dia. Masa tu dia baru balik belajar dari US. Sekarang sudah Ir. Dr. Ismail dan mempunyai firma perunding kejuruteraan sendiri. Macamana aku boleh dapat tahu dia ex-Jenan? Satu hari on the way balik dari Melaka aku singgah di Majlis Jamuan SMSAHRAYA yang diadakan di Putrajaya. Masa aku lalu satu meja puak-puak senior, tiba-tiba aku nampak dia dan terus pergi tanya, Dr buat apa sini? Dia kata, Saya pun ex-Jenan jugak. Halamak, aku kata……nasib baik ada jamuan ni. Kalau tak sampai kesudah Kita tak tau. Kemudiannya aku pernah jumpa dia lagi dalam perjumpaan lain selepas itu.

27.4.2019
Taman Andalas

Nasib kawah lagi

AKU DAN SMSAH JENAN 80 - 84.

Nasi kawah lagi.

Selepas dapat result SPM, aku ke tingkatan enam di sekolah menengah Pulau Nyiur, Jitra. Sementara menunggu tawaran lain, aku merepotkan diri di situ dengan beberapa orang lain. Aku, Dee, Tok Moh, Azlan Z  dan Man Hamid terpaksa mencari rumah sewa untuk memulakan pengajian di sekolah baru sebab asrama tidak di sediakan. Duduk sendiri lagi tapi kali tiada undang-undang macam Jenan. Seronok rupanya. Dan kali ni kami terpaksa mengharungi bulan puasa sendiri. Sukar juga tapi bila petang sempat juga Mat Dee buat kueh dan bagi kat jiran untuk dapat lain. Kueh apa yang buat?  Hahaha…rahsia tapi tektik berkesan.  Kami ada di sekolah tu sampai selepas raya dan mula keluar sebab masing-masing sudah mula mendapat tawaran untuk belajar semula. Zaman itu tingkatan enam belum attractive lagi.

Aku dan Tok Moh kena ke sekolah lagi untuk makan nasi kawah semula bila memasuki program Matrik UKM di Jenan. Hanya kami berdua sahaja otai atau stayers jenan dulu yang masuk matrik. Aku meminta untuk balik ke rumah cendikia lagi. Kali ini dengan  beberapa kawan baru.  Mail Sahak orang Pantai Johor adalah dari Kolej Islam Klang, Suhaili dari Sains Johor dan Shaari dari Sungai Petani. Manakala Che Ismail adalah dari batch sebelumnya.Dia belum lagi dapat ke UKM  sebab belum cukup syarat.  Selain dari Che Ismail ada beberapa lagi dari batch sebelum tu termasuk  Wan Azam senior setahun jenan aku. Tanpa kami sedari rupanya aku dan Tok Moh akan mengikut jejak langkah Wan azam dan tradisi-tradi sebelum itu  untuk repeat tapi malangnya kali ini bukan di Jenan lagi tapi di sebuah sekolah SBP di Kuala Lumpur, Sekolah Alam Shah bila Matrik UKM Jenan ditutup dan diganti dengan matrik UUM.

Tamat kisah aku di Jenan sepanjang enam tahun. Apa yang dapat aku katakan ia adalah persinggahan di sebuah sekolah berasrama penuh memberikan aku asas survival dalam berbagai cara dan pembentukan peribadi terutama mental yang tahan lasak dalam mengharungi kehidupan seterusnya terutama dalam kerjaya aku sekarang ini di bidang pembinaan.

27.4.2019
Ampang

Nadwah di KIK

AKU DAN SMSAH JENAN 80 - 84.

Nadwah Dan persatuan agama Islam.

Aku boleh kira dalam kategori budak usrah Jenan, tapi istiqamah usrah pun  masa tingkatan satu saja. Abang-abang ketua usrah masa tu seperti Iskandar Mat Amin, Nasiruddin sharif ( PLO ), Zulkifli Yahya, Arwah Said dan beberapa orang lain yang aku sudah tak ingat.  Lepas tu kadang-kadang joint, kadang tidak. Kalau tidak joint usrah, aku dok jalan-jalan kawasan sekolah atau lepak di asrama dengan geng yang tak minat wayang.
Munkin itu antara sebab nama aku naik untuk menyertai Nadwah Kepimpinan Islam di Kolej Islam Klang ( KIK ) masa di tingkatan empat bersama beberapa orang kawan seperti Dahalil, pak Jab, arwah Pak Wan, Pak Non, Sudin inspector, Azam dan Nazri Mahadzir.

Kolej Islam Klang adalah pusat pembelajaran agama yang tersohor di Malaya. Asalnya adalah Kolej Islam Malaya untuk melatih anak-anak Malaya bijak mendapat diploma dan melanjukan pelajaran ke Timur Tengah atau menjadi terus menjadi ustaz. Sekolah ini kemudiannya di ambil oleh kementerian dan namanya bertukar ke Kolej Islam Klang. Pelajar-pelajarnya di ambil untuk tingkatan empat dan enam sahaja. Pelajarnya dari sekolah-sekolah agama seluruh Malaya. Kemudian di tukar nama menjadi Kolej Islam Sultan Alam Shah atau KISAS. Sampai sekarang masih menjadi kilang mengeluarkan orang-orang tersohor dalam bidang-bidang lain selain dari agama. KIK adalah jagoan dalam debat/bahas. Jenan dulu adalah rival mereka dalam bahas Piala Perdana Menteri. Lagi-lagi bila pernah menumpaskan mereka di final.

Kami ke Kuala Lumpur dengan keretapi. Aku tak ingat samada kami ke Klang kemudiannya dengan keretapi atau di jemput dengan bas KIK. Sampai di sana kami ke asrama dengan budak-budak SBP yang lain. Dalam dorm tu yang aku masih ingat ada budak Sains Selangor. Menarik juga bila puak-puak sekular  bertembung dengan orang agama. Mula-mula semuanya berjalan lancar tapi kawan kami arwah pak wan sudah mula bertanyakan soalan yang berat-berat. Habis dua minggu kami di sana dengan berbagai-bagai aktiviti. Tapi kawan aku Pak Wan yang aku kenal dulu sudah tak sama lagi.

Cerita aku dengan  Klang ni bukan tamat setakat nadwah saja. Rupanya sepuluh tahun kemudiannya ceritanya bersambung bila aku berkahwin dengan cikgu Arabic situ dan dia masih mengajar sampai sekarang dan nampaknya akan pencen di situ. Selalu sangat aku keluar masuk KIK sejak lebih Dua puluh tahun .
Aku pun terus buat keputusan untuk menetap di Klang dengan membeli rumah di Taman Sri Andalas.  Entah apa yang berlaku dulu sehingga tuhan kemudiannya memilih aku untuk menetap di sini. Percubaan untuk keluar dari Klang tak pernah berjaya, terutama bila aku semakin kerap outstation.

Semasa di tingkatan lima tiba-tiba masa pemilihan untuk menjadi ketua persatuan Agama Islam atau pengerusi, nama aku naik untuk bertanding dengan calon favorite, Mat Rejab. Mat Daus rakan sekelas  5 sains satu yang dengan spontan mencalonkan nama aku dan terus kempen budak-budak junior untuk sokong aku. Yang aku hairan sejak bila Mat Daus ikut persatuan ni. Dengan takdir Allah aku jadi ketua persatuan dan keadaan ini meletakkan aku dalam keadaan yang sangat sukar sebab persahabatan aku dengan Mat Jab dan juga cara amalan aku yang berbeza dengan orang Kedah. Kesian ustaz Jaafar bila aku yang menang. Sedih sangat dia tapi bila Mat Rejab hendak melepaskan jawatan naib pengerusi, kami sama-sama pujuk dia untuk teruskan sampai habis tingkatan lima.  Jawatan pengerusi ini kira macam Presiden Badar sekarang. Anak-anak aku sampai sekarang tak percaya yang bapaknya dulu pernah jadi orang kuat persatuan agama walaupun duduk di SBP. Tapi aku sekali sekala terpaksa juga aku menjadi imam untuk warga Jenan bila tiba waktu berjemaah di masjid. Nasib baik juga dulu ada pelajar-pelajar matrik dan tingkatan enam yang lebih alim untuk menjadi imam.
Semasa aku menjadi pengerusi itu, buat pertama kalinya kami membuat nadwah peringkat sekolah dan aku telah mengetuai dan memberi ucapan pembukaan untuk pelajar-pelajar Jenan.
Semua ini menjadi antara kenangan manis aku di Jenan sampai ke hari ini.

27.4.2019
Ampang

Tingkatan empat Dan lima

AKU DAN SMSAH JENAN 80 - 84

8.0  TINGKATAN EMPAT DAN LIMA

Keputusan SRP aku biasa tapi masih boleh meneruskan ke tingkatan empat. Beberapa orang kawan dari kelas D dahulu ada  yang tiada lagi bersama kami di tingkatan empat, antaranya Saharuddin Che Mat, Banturuk, Mohd Sahak dan Zuraini.
Di tingkatan empat ini aku ditempatkan di kelas Lima Sains Satu. Pada masa ini ada tiga kelas sains dan satu kelas sains social yang diperkenalkan pada tahun sebelumnya. Untuk masa tingkatan empat dan lima, kemasukan ke dalam kelas disusun semula atas kriteria yang aku tidak begitu jelas.
Kawan-kawan dari kelas D yang masih bersama-sama adalah Suhairi, Suhizan, Zul Conan, Siti Salwa, Tengku Farah. Manakala kawan-kawan dari kelas lain adalah seperti Firdaus, Mood Naim, Francisco, Nizam, Mat Noq, Julai, Khairul Azman, Zuhairi, Ahmad Natoi, Subhi, Mohana, Salha, Noraini, arwah Norazlina, noraishah, Hanny, Masni, Norsaadah, Faezah dan Noraziah. Manakala Farizz Fathan adalah sahabat baru yang masuk masa di tingkatan empat.

Kedudukan kelas kami adalah di tingkat bawah di hujung sekali berdekatan koridor ke bilik guru dan ke arah makmal dan kantin. Aku pulak duduk di barisan di tepi tingkap di belakang Mood Naim. Pihak perempuan pula duduk di dua barisan yang di depan. Ketua kelas pula seingat aku adalah Zul Conan. Ada beberapa pengawas dalam kelas aku  antaranya Suhizan, Nizam, Mohana, Norsaadah dan Salha.
Satu perkara yang misteri sampai sekarang adalah aku kadang2 dapat Surat yang Ada temucut. Orang yang mengirim pun Tak dapat di trace. Tiba2 saja Ada dalam meja. Kreatif sungguh depa.

Semasa di tingkatan empat, aku adalah antara yang  ke Nadwah kepimpinan islam di kolej islam kelang. Kawan-kawan yang terlibat sekali adalah Pak Non, Dahalil, Nazri Rejab, Nazri mahadir, Sudin, Pak Wan.  Cerita Nadwah ini akan di tulis kemudiannya nanti. Kenangan paling manis aku pernah menjadi imam untuk pelajar-pelajar Jenan walaupun aku ada sedikit perbezaan fahaman dengan orang-orang Kedah. Kami juga telah mengadakan nadwah di peringkat sekolah untuk kali pertamanya.
Selain dari itu masa tingkatan lima, aku juga jadi setiausaha untuk rumah cendikia. Ketua rumah pada masa itu adalah rakan sekelas aku di tingkatan rendah iaitu Suardi.

Persekolahan selama lima tahun berakhir bila tamatnya peperiksaan SPM di hujung tahun 1984. Semasa hri terakhir aku di Jenan Aku Dan rusli pergi round melihat beberapa kawasan jenan untuk Kali yang akhir Dan tidak tahu bila dapat datang ke situ lagi. Kami juga bertembung dengan Dua orang pelajar perempuan yang juga pusing 2 sekolah. Setelah berborak sedikit sebanyak, kami pun Mula beredar dengan menyangka itulah kali terakhir tanpa menyedari yang Allah ada perancangan lain.
Aku kemudiannya balik ke kampung Paya untuk  bersama2 keluarga sementara menunggu keputusan peperiksaan keluar.

26.4.2019
10.05pm Taman Andalas.

Tingkatan dua

AKU DAN SMSAH JENAN 80 - 84

6.0  Tingkatan Dua, Tiga Dan Cendekia.

Masa tingkatan dua, aku masih di rumah satria. Bila habis setahun dan masuk tingkatan dua, kami pula jadi abang bawak. Adik bawak aku fakrurazi atau kami panggil Aji, orang aceh dari Yan, Kedah. Di dorm itu kami yang tingkatan dua ini yang paling senior. Kegiatan main bola dalam dorm masih di teruskan. Selalu kena denda dengan warden bila dah over.
Di dorm satria kali ini, aku pindah tempat. Kali ini duduk dengan siapa pun tak ingat tapi di sebelah kanan aku adalah zainuddin mat salleh yang kemudiannya kami panggil Din Seniak saja. Cuma Hassan sudah balik ke Kulim untuk meneruskan persekolahannya di sana.
Budin pula membuka kedai kecik jual barang2 keperluan. Maggi adalah hot item. Tapi kesian, kadang2 dia kena sabotaq
Aku tak banyak memori masa di tingkatan dua. Maklumlah dah senior sikit. Hidup tiada siapa yang kacau kalau kita tak kacau orang lain.

Di kelas pula tiada yang berubah cuma ketua kelas bertukar dari Pak Wan ke Sahabudin. Anak polis di alor janggus. Dia kemudiannya kami panggil Budin saja. Tapi ramai yang panggil Budin kuda akhirnya. Panjang ceritanya macamana nama kuda ni muncul. Kelas ini juga kehilangan satu kawan perempuan, Zuhana yang balik bersekolah di  Perlis.

Aku masih sama tidak telibat serius dengan mana-mana sukan untuk sekolah. Cuma aku termasuk dalam grup minoriti yang tidak pergi tengok wayang tiap-tiap malam sabtu. Kadang-kadang ikut usrah di masjid dengan senior-senior lain atau balik lepak di dorm sahaja.

Tahun 1982 adalah tahun kami ambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran atau SRP. Aku pun masih sama,  tidak serius belajar cuma berharap dapat meneruskan ke tingkatan empat di sekolah ini juga.
Masa di tahun ini, sistem rumah lama dibubarkan dan ditambah satu lagi rumah, iaitu Andeka. Aku pula tercampak ke rumah Cendikia di blok belakang dekat masjid. Hanya beberapa orang dari rumah Satria yang sekali dengan aku ke Cendikia. Antaranya Din Seniak, Zaki Mael dan Pak Aji junior. Ada beberapa sahabat baru dari rumah lain yang bersama-sama kami. Yang satu batch dengan aku seperti Rosaidi ( orang kampung Paya ) Pak Ku Ai, Wadi, Zul Husin, Mat Beh, Che Jol, Kancut, Zaki dan Che Det. Senior setahun pula seperti Che Ayoib, Ed Jin, Asri, Rejab Haron dari Sains Perlis dan Zaki Tok Lah dari Sains Kedah.  Yang junior setahun pulak adalah Junaidi, Shahidan, Faizal, Nazwal,Tarmizi. Geng tingkatan enam yang aku ingat cuma pak ku pazli Dari Langkawi Dan engku sahudri Dari sains perlis.
Manakala aku dan Tok Moh terpisah bila dia ke rumah Juara di tingkat bawah cendikia. Pada masa ni system dah lain sikit. Dorm kami yang hujung menghala ke masjid. Kali ini duduk bersama geng tingkatan empat dan satu manakala hujung sebelah lagi di duduki oleh tingkatan lima, dua dan enam. Geng matrik dok di bilik tengah. 
Masa ni pun ejoy sebab tadak siapa yang ganggu. Lagipun kami di tingkat atas dan hujung sekali.
Selepas peperiksaan SRP tamat, semua tingkatan tiga ada aktiviti-aktiviti sementara menunggu cuti sekolah habis. Yang aku paling ingat adalah kami ke Pantai Merdeka dan bermalam di Sana  beberapa hari.

26.4.2019
12.30 Tasek Permai

Tingkatan satu

AKU DAN SMSAH JENAN 80 - 84.

4.0  TINGKATAN SATU – KELAS TIGA D

Aku di tempatkan di tingkatan satu D. Kelas ini akan kekal sehingga tingkatan tiga. Masa itu pembahagian kelas adalah mengikut huruf  di depan nama. Nama-nama yang bermula dari huruf S hingga Z berada dari kelas ini. Semuanya ada empat kelas, A,B,C dan D. Jumpah keseruhan ada seratus lebih dan kelas kami ada dua puluh orang. Tapi ada seorang yang balik ke Perlis bila kami masuk tingkatan dua. Entah apa sebabnya aku pun tak tahu.

Cikgu kelas adalah Ustazah Saniah manakala ketua kelas adalah arwah Ridzuan Zainol aka Pak Wan. Dia dan Zainal Jaafar selalu berlawan siapa yang dapat nombor satu dalam kelas. Aku biasa-biasa saja dalam pelajaran.

Subjek yang aku paling suka adalah lukisan. Ada dua orang lagi yang pandai lukis dalam kelas ini. Seorang nama Suhizan dan seorang lagi Zulkifli Haris. Kedua-duanya orang Perlis. Kami adalah geng kelab lukisan bersama Cikgu Wahab. Duan orang lagi yang pandai melukis adalah Anuar Rizal dan Rejab. Pak Jab ni gila melukis penyanyi A. Ramlee. Last-last rambut dia pun jadi macam A.Ramlee. Zul pulak gila lukis gambar Conan The Barbarian. Dia perasan muscle dia macam Conan. Lama-lama kami panggil dia Zul Conan. Suhizan dan Zul termasuk Suhairi terus sekelas dengan aku bila kami ke tingkatan empat dan lima. Tapi masa Sijil Rendah Pelajaran aku memilih untuk ambil subjek agama islam berbanding dengan lukisan. Cikgu Wahab pernah panggil aku dan  tak puashati dengan keputusan aku . Nak buat macamana, aku memilih subjek yang aku rasa senang dapat A dalam peperiksaan.

Kawan-kawan lain yang di kelas ini adalah Suardi, Zainol Rasyid, Sanil, Zakaria, arwah Ridzal Ramli, Mat Ishak, Banturuk, Sahabudin, Zulkifli Hussain, Saharuddin Che Mat, Zainuddin Salleh, Saifudin dan Syed Bazril. Ramai geng Kedah Dan Sabah selain Dari Perlis dalam kelas ni
Pelajar perempuan yang jadi penolong ketua kelas adalah Yusma, orang Penang yang kemudiannya menjadi pensyarah dan bos adik ipar aku di Politeknik di Kulim. Yang menarik hanya seorang sahaja budak perempuan yang bertudung masa mula-mula  kami masuk tingkatan satu. Bukan saja di kelas aku tapi di seluruh tingkatan satu. Agaknya bapak dia Tok  Guru pondok di Kedah sebab zaman tu memang kurang atau jarang jumpa perempuan bertudung tak macam sekarang. Namanya Siti Salwa Ismail. Dia juga kemudiannya sekelas dengan aku lagi bila kami ke tingkatan empat dan lima. Kawan-kawan perempuan yang lain di kelas ini adalah Suriyati, Siti Azani, Syarifah Mauwizan, Zuraini, Zuhana,  dan Tengku Farah.

Antara cikgu yang mengajar kami adalah, Ustazah Saniah ( Agama Islam ), Cikgu Tajuddin ( sains paduan ), cikgu Fakiruddin ( matematik ), cikgu Wahab ( lukisan ), arwah cikgu Azmi ( sejarah ) dan cikgu Ahmad Man ( perdagangan ).
Manakala untuk bahasa inggeris murid-murid di gredkan dan aku di group yang kelima dipanggil Set 5. Kami dikira yang paling tidak pandai bahasa orang putih, maklumlah dulu sekolah kampong. Cikgu kami adalah Madam Mary Anne Masilamani. Banyak peristiwa lucu masa di Set 5 ni. Semasa di tingkatan empat dan lima, cikgu inggeris kami adalah Puan Syarifah Rodziah. Peel grup kami masih sama sampai habis tingkatan lima. Kalau sekarang ni bercerita dengan puak2 ni gelak sampai keluar airmata.
Aku terus Tak pandai English sampai masuk University. Tapi dek kerana kursus engineering, buku rujukan, pensyarah Dan ramai non-malay , aku terpaksa kayuh juga si English ni. Lepas kerja lagi teruk. Semuanya English sampai aku jadi pandai. Sekarang ni nak buat Surat Bahasa melayu pulak terkial kena Cari sample.

24.4.2019
Aeonbig , jln Taman putra sambil pekena laksa

Sekolah menengah

Sempena alumni dinner jenan malam minggu lepas yang aku berkesempatan untuk joint alumni2 lain,  sedikit catatan mengenang kembali cerita lama Jenan.

AKU DAN SMSAH JENAN 1984

2.0  SEKOLAH MENENGAH

Setelah mendapat keputusan Empat A dan satu B dalam peperiksaan penilaian darjah Lima, aku ditawarkan belajar di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah. Aku berada di sini dari tingkatan satu sehingga Matrikulasi UKM.
Aku ke Jenan bersama kawan sekolah Paya, Khairul Azni yang kemudiannya kami panggil Tok Moh.
Sekolah ini yang terletak di Jitra dan berada di dalam kawasan ladang getah  Jenan. Disebabkan inilah sekolah ini lama-lama di kenali sebagai Jenan sahaja. Jenan adalah salah sebuah sekolah Berasrama Penuh yang terawal di Malaya.
Setelah persiapan di buat, bapak menghantar aku ke Jenan pada 1 januari 1980. Itulah kali pertama dan terakhir bapa aku ke Jenan. Dia tidak ke sana lagi melawat selama enam tahun aku berada di sana. Aku selepas itu pergi balik ke sekolah sendiri dengan bas Kangar – Alor Setar walaupun di awal atau akhir tahun. Selain dari keluarga kami tiada kereta sendiri, belanja pun boleh jimat bila naik bas. Aku pun jarang-jarang balik kecuali bila cuti sekolah sahaja.
Kemudiannya bila aku ke Sekolah Alam Shah di Cheras pun pergi sendiri dengan kawan-kawan. Begitulah asam garam belajar zaman dahulu berbanding sekarang yang mak dan bapak ada yang tiap-tiap minggu pergi melawat anak di asrama. 

3.0  RUMAH SATRIA

Di Jenan, aku ditempatkan di rumah merah, yang dipanggil Satria. Rumah-rumah lain semasa itu adalah Pendita, Juara, Wira dan Cendikia.
Kemudian semasa aku di tingkatan tiga, sistem rumah di ubah dengan menambah satu rumah lagi iaitu Andeka.
Rumah Satria berada di Blok B bersama-sama Pendita. Kami di tingkat satu dan Pendita di tingkat dua. Manakala di tingkat bawah adalah rumah cikgu Wahab yang menjadi warden. Aku berada di situ sampai tingkatan dua. Semasa tingkatan satu kami tinggal bersama-sama abang-abang tingkatan dua. Abang tingkatan dua yang menjadi abang bawak aku adalah radzif mokhtar. Manakala yang lain yang aku masih ingat abang ismail sahak, ku shahidi, effendi manaf, che harun, arwah zamri toran dan lain-lain yang aku dah lupa.
Manakala sahabat-sahabat tingkatan satu di dorm itu adalah Hassan badri, khairul azni ( Tok moh ), shahabuddin ( kuda ), rahman, zainuddin salleh ( seniak ), suhizan, Rostam, Rashid mat ali, faisol, serta arwah ridzal ramli dan sheikh mahadir.
Salah seorang kawan Jenan yang tak dapat aku lupa adalah Hassan Badri, berasal dari Serdang,  Kulim yang duduk di sebelah katil aku hanya berada di Jenan setakad tingkatan satu sahaja. Bila tingkatan dua, dia sudah balik ke Kulim dan tiada siapa mendapat maklumat tentang dia sehingga sekarang. Dia telah kehilangan bapa sejak kecil dan masa melapur diri di Jenan di hantar oleh abangnya.
Selain Hassan, sahabat lama dari sekolah Paya, Khairul Azni juga di rumah Satria sekali dengan aku. Tapi lama-kelamaan orang dah lupa nama sebenar dia bila ada kawan yang mula memanggil dia Tok Moh. Aku pun kurang pasti asal usul dia di panggil macam tu.
Selepas sistem rumah asal dibubar, kami telah terpisah. Aku di Cendikia dan dia di rumah Juara. Kami masih se blok B Cuma aku di tingkat dua dan dia di tingkat satu.
Kawan-kawan Perlis di dorm Satria selain dari aku dan Tok Moh adalah suhizan, Rostam dan sheikh  Mahadzir. Suhizan orang Beseri manakala Rostam pula dari kampong salang, Batu Dua Jalan kaki bukit. Sheikh pula dari Kampung Dato Kayaman. Semasa aku menulis cerita  ini, tahun 2018 Sheikh sudah hampir seminggu meninggal dunia. Arwah mengidap penyakit kencing manis dari tingkatan dua dan kehilangan pengelihatan dalam usia tiga puluhan. Akhirnya dia meninggal di Hospital Kangar pada usia lima puluh satu tahun.
Selain dari geng rumah Satria, kawan-kawan Perlis yang lain pun ramai juga. Zaman tu majoriti pelajar adalah dari kedah, perlis dan penang.

Di sinilah aku bermula hidup sendiri dengan kawan-kawan. Dari siapkan katil sebelum sekolah sampai ke basuh baju semuanya buat sendiri. Zaman tu basuh baju dengan tangan dan pergi jemur di tempat sidai kain. Nasib tak baik baju di jemuran hilang bila orang  sapu atau tersilap ambil. Makan pula di dewan makan. Kalau lambat juga  entah apa makanan yang tinggal. Walaubagaimana pun aku survived dan tiada perkara buruk berlaku sepanjang masa tingkatan satu. Abang senior yang sedorm pun agak baik juga walaupun adalah sikit-sikit terover sana sini. Maklumlah budak asrama. Cuma bila kami terover main bola dalam dorm, cikgu Wahab yang duduk bawah bengang, masing-masing kena kutil kat perut.

23.4.2019
Sri Andalas

Thursday, May 2, 2019

Bungkuih lagi

Spurs Kena lagi masa first leg semi final.

Sampai bila lah macam ni, failed at last crucial time.

erti

Dari grup sunnah Thtl : Salaf= moyang, pendahulu, pioneer. Mcm salaf kuala lumpur (peneroka awal KL) Salafussoleh= generasi 1-300 tahun pert...