Saturday, May 14, 2022

macamana bermula

LIM LENG CHEAK DAN PEMBANGUNAN EKONOMI KEDAH

Lim Leng Cheak dilahirkan di Pulau Pinang pada tahun 1850, ayahnya Lim It Kim berasal dari wilayah Fujian, merantau ke wilayah Asia Tenggara dan berkahwin dengan gadis Siam dari keluarga berpengaruh. Mereka kemudiannya menetap di Pulau Pinang. Tidak banyak maklumat yang diperolehi mengenai bapanya namun beberapa catatan mengatakan ayah Lim Leng Cheak mempunyai pengaruh besar didalam urusniaga di Pulau Pinang.

Pada zaman muda, Lim Leng Cheak bekerja sebagai kerani kepada pegawai di Pulau Pinang. Kemudian beliau membuka perniagaan runcit. Memandangkan Pulau Pinang telah menjadi pelabuhan utama di utara, beliau mengambil peluang membuka syarikat perdagangan import export ke kawasan Sumatera terutama di Acheh. Perdagangan utama yang dijalankan ialah dagangan lada hitam.

Lim Leng Cheak membesarkan lagi perusahaan dagangan beliau dengan mengeksport beras dari Pulau Pinang ke wilayah Acheh. Menurut rekod perniagaan beliau, jumlah keuntungan bagi 3000 guni beras adalah sebanyak $10,000 dengan menggunakan kapal Cornelia. Kapal tersebut telah berdagang di Troomon, Tampat, Tuan, Soosoo, Rigas, Analaboo dan kembali ke Pulau Pinang.

Pada tahun 1879, rakan niaga beliau telah bersara dan kesemua perniagaan dikawal sepenuhnya oleh beliau. Syarikat beliau, Messrs Leng Cheak & Co kini mempunyai 4 buah kapal kuasa wap iaitu Cornelia, Eleanor, Washi dan Rosa. Syarikat ini juga menjalinkan hubungan yang baik dengan pihak Inggeris dan beberapa  kapitan Cina yang lain antaranya Keluarga Khaw dan Lee Phee Yeow.

Pada tahun 1888, Sultan Abdul Hamid iaitu Sultan Kedah yakin dengan kemampuan Lim Leng Cheak. Baginda telah memberikan tanah seluas 14,000 relong di Kulim untuk mengusahakan tanaman ubi kayu. Tujuan Sultan memberikan tanah adalah untuk membangunkan negeri Kedah yang ketinggalan dari sudut ekonomi selepas diserang Siam pada tahun 1821.

Beliau juga turut mengusahakan tanaman kopi, candu dan kelapa dikawasan Kulim. Pekerja beliau adalah seramai 1000 orang, hampir separuh daripada mereka berbangsa India. Selain itu terdapat juga bangsa Melayu, Jawa, Petani, Teochius, Hailam dan Hokkien.

Selain daripada itu, Sultan juga memberi kuasa monopoli 20 tahun kepada beliau didalam mengawal perusahaan beras. Nama syarikat tersebut ialah Syarikat Beras Chep Bee. Hampir semua petani di Kedah dan kawasan sekitar menjual padi kepada syarikat beliau. Kesemua padi akan diproses daripada kilang berasnya sendiri. Kesemua beras tersebut akan didagangkan sendiri oleh syarikat beliau di Pulau Pinang. Boleh dikatakan sepanjang 20 tahun tersebut, beliau mendapat kuasa penuh monopoli terhadap dagangan beras di Kedah dan Pulau Pinang.

Kekayaan beliau terus bertambah apabila beliau telah membuka kilang gula di Alor Setar, tanaman kopi dan kelapa di Kulim. Boleh dikatakan Lim Leang Cheak telah berjaya menguasai keseluruhan pasaran beras, perdagangan lada hitam, candu, gula, kelapa, kopi, arak, ubi kayu. Barang dagangan beliau seperti beras dieksport ke Ceylon, India, Mauritus. Ubi kayu pula dieksport ke London, Le Havre, Nantes dan sekitar eropah.
Pada tahun 1901, Lim Leang Cheak telah meninggal dunia pada usia 51 tahun. Beliau telah meninggalkan kekayaan dan kuasa ekonomi yang sangat besar. Kesemua harta dan perniagaan beliau diwarisi 15 orang anaknya hasil daripada perkahwinan bersama 7 orang isteri.  Kesemua ladang beliau dipecahkan kepada 20 panggu. Empat orang anak perempuannya mendapat $30,000 setiap orang.

Gambar daripada https://overseaschineseinthebritishempire.blogspot.com/...

Kredit : Histourism - History & Tourism

Rujukan
MBRAS Chinese-Malay Economic Network in Penang-Kedah-North Sumatera Triangle 1880-1909
Chinese Business In The Making of A Malay State 1882-1941

erti

Dari grup sunnah Thtl : Salaf= moyang, pendahulu, pioneer. Mcm salaf kuala lumpur (peneroka awal KL) Salafussoleh= generasi 1-300 tahun pert...