Dimana letaknya Langkasuka?
Nama Langkasuka mula dijumpai dalam catatan China dari 梁书 Liáng shū yang menyebut sebagai 狼牙脩 Láng yá xiū atau dituliskan 狼牙修 Láng yá xiū ketika 南梁朝 Nán liáng cháo iaitu Dinasti Liang Selatan (502 - 557). Masa Dinasti Tang dan dalam catatan 义净 Yì jìng menyebutnya sebagai 郎伽戍 Láng jiā shù. Dalam rekod Dinasti Sung, Langkasuka dituliskan sebagai 凌牙斯加 Líng yá sī jiā. Ketika Dinasti Yuan iaitu orang-orang Monggol memanggilnya 龙牙犀角 Lóng yá xījiǎo. Manakala semasa Dinasti Ming menyebutnya 狼西加 Láng xī jiā.
Pada prasasti Tanjore yang dijumpai di selatan India mencatatkan sebagai Ilangasongam. Dalam puisi Jawa pada abad ke 14 mencatatkan sebagai Nagarakretagama. Kitab al-Minhaj al-fakhir fi-ilm al-bahr al-zakhir pula menulisnya sebagai Langashuka. Perkataan Langkasuka juga dipercayai berasal dari bahasa Sanskrit. Langka atau langkha bermakna "tanah yang indah permai" manakala Sukha ialah "suka". Jadi Langkasuka diertikan sebagai suka dengan tanah yang indah permai.
Dalam Hikayat Merong Mahawangsa pula menyebut permulaan negeri Kedah adalah dari Langkasuka. Namun ramai ahli sejarah menganggap Kedah dan Langkasuka adalah dua politi yang berlainan di mana Langkasuka terletak di pantai timur dan Kedah di pantai barat Semenanjung.
Dalam buku Liáng shū di abad ke 6 menyebut, "狼牙修国,其俗男女皆袒而被发,以吉贝为乾缦。其王及贵臣乃加云霞布覆胛,以金绳为络带,金钚贯耳。女子则被布,以璎珞绕身。其国累砖为城,重门楼阁".
Penduduk negara Langkasuka, adatnya lelaki dan perempuan semuanya tidak berbaju dan rambut tidak terurus. Menggunakan kain yang ditenun dari benang kekabu. Raja dan pembesarnya menutup bahu dengan kain 云霞 Yúnxiá (sejenis kain bermutu tinggi dari China) dan memakaikan tali emas yang dipintal serta bertindik telinga yang dipakaikan anting-anting emas yang bulat. Yang perempuannya pula memakaikan kain yang meliliti badan dan dipakaikan barang perhiasan. Kotanya diperbuat batu-bata yang disusun dan pintunya berlapis-lapis serta terdapat menara peninjau.
Dalam tahun 515 raja Langkasuka, 婆加达多 Pó jiā dá duō atau Bhagadatta Pajiadaduo telah menghantar utusan ke China. Utusannya menyebut, "立國以來四百余年", negara telah terbina lebih daripada 400 tahun. Berdasarkan catatan inilah maka ahli-ahli sejarah mempercayai yang Langkasuka telah diasaskan pada abad pertama Masehi. Kemudiannya diikuti dalam tahun 523, 531 dan 568 Langkasuka menghantar utusan ke China.
Sebagai rujukan, dalam 扶南记 Fúnán jì yang ditulis oleh 康泰 Kāngtài dalam abad ke 3 menyebut, "顿逊国属扶南,国主名昆仑". Negara 顿逊 Dùn xùn adalah negara naungan Funan, penguasa negaranya (yakni raja bagi sebuah negara yang bernaung di bawah negara Funan) disebut Kunlun. Dùn xùn ialah Tenasserim iaitu wilayah Mynmar sekarang yang bersempadan dengan Langkasuka di utara. Istilah Kunlun mula dijumpai dalam catatan China bermula di abad ke 3 yang merujuk kepada bangsa Funan yakni orang Khmer. Identiti orang Kunlun ialah berkulit gelap dan rambut kerinting. Apabila berjalan berkaki ayam.
Definisi Kunlun yang merujuk kepada bangsa Funan lebih jelas diterangkan dalam 南州異物志 Nán zhōu yìwù zhì yang ditulis oleh 萬震 Wàn zhèn pada abad ke 3. Disebutkan, "扶南國 .... 自立為王﹐諸屬皆有官長﹐及王之左右大臣皆號為“崑崙”". Di negara Funan dengan melantik dirinya sebagai raja. Di bawahnya terdapat para pegawai dan pembesar yang berada di kiri kanannya juga disebut 昆仑 Kunlun. Maka sebab itulah setengah ahli sejarah China menyebut Langkasuka juga dibina oleh orang Funan kerana berada dalam kelompok orang Dùn xùn yang disebut Kunlun.
Ini diperkuatkan lagi dengan catatan dalam 隋书 Suí shū iaitu buku sejarah Dinasti Sui (581 - 619) yang menyebut, "赤土國,隋時通焉,扶南之別種也". Negara Chìtǔ telah ada perhubungan dengan Dinasti Sui. Bangsanya adalah berlainan daripada bangsa Funan. Catatan ini dengan jelas menunjukkan yang bangsa di Chìtǔ adalah berbeza dengan bangsa-bangsa lain kerana ia adalah dari bangsa Melayu. Bermakna ke utara Chìtǔ termasuklah Langkasuka adalah orang-orang Funan manakala dari Chìtǔ ke selatan barulah didiami oleh orang Melayu.
Di manakah kedudukan Langkasuka? Daripada catatan 义净 Yì jìng yang dalam pelayaran melalui Teluk Benggala dari India untuk ke Srivijaya menyebut, "行一月余 ,便达前岭。次此南畔,逼近海崖,有室里察旦国,次东南有郎迦戌国, 次东有杜和钵底国". Setelah belayar lebih sebulan maka sampailah di hadapannya banjaran gunung (Banjaran Arakan, Mynmar). Di sempadan selatan berhampiran dengan pantai yang curam ialah negara 室里察旦 Shì lǐ chá dàn iaitu Sri Ksetra. Di tenggaranya pula ialah negara 郎迦戌 Láng jiā xū iaitu Langkasuka. Ke timur (dari Sri Ksetra) ialah 杜和钵底 Dù hé bō dǐ iaitu Dvaravati.
Sri Ksetra adalah sebuah kerajaan kuno yang menguasai Lembangan Irrawaddy. Daripada 梁书 Liáng shū iaitu buku sejarah Dinasti Liang menyebut terdapat sebuah negara kuno bernama 頓遜國 Dùn xùn guó yakni yang sekarangnya di Tennaserim, Mynmar. Manakala Dvaravati adalah kerajaan yang menguasai sebahagian besar negara Thailand sekarang. Dalam catatan China juga menyebut Langkasuka terletak ke selatan 盘盘 Pán pán.
Dalam 南史 Nán shǐ iaitu buku sejarah bagi Dinasti-dinasti Selatan (420 - 589) menyebut sempadan negara Langkasuka, "其界东西三十曰,南北二十行,去广州二万四千里". Sempadan timur barat (dengan perjalanan darat) ialah 30 hari dan utara selatan ialah 20 hari. Pergi ke Guangzhou sejauh 24,000 li (li ialah unit jarak).
Berdasarkan catatan dari 大唐西域求法高僧传 Dà táng xīyù qiúfǎ gāosēng chuán yang disiapkan dalam tahun 691 atau Records of Seeking Dharma in the Western Regions of the Tang Dynasty yang menyebut, "…… 附商船 .... 越舸扶南,缀缆“郎迦戌”.....与附舶向师子洲". Menumpang kapal dagangan yang besar melalui Funan untuk belayar ke 郎迦戌 Láng jiā xū iaitu Langkasuka. Kemudiannya menaiki kapal untuk ke 师子洲 Shīzi zhōu yakni Ceylon. Catatan ini menceritakan para biksu atau sami Buddha dari China yang belayar ke Ceylon bagi mempelajari ugama Buddha. Mereka melalui tanah daratan sempit di Langkasuka yang dipercayai ialah sekitar Kra atau Segenting Kra. Kedudukannya adalah ke selatan dari 盘盘 Pán pán dan ke tenggara dari 頓遜國 Dùn xùn guó yakni yang sekarangnya di Tennaserim di Mynmar. Di sinilah sempadan utara Langkasuka.
Bagi sempadan selatan Langkasuka pula kita harus merujuk kepada satu catatan dari buku sejarah Dinasti Sui, 隋书 Suí shū tentang pelayaran 常骏 Cháng jùn ke 赤土 Chìtǔ atau kerajaan Tanah Merah dalam tahun 607.
又南行,至師子石,自是島嶼連接, 又行二三日,西望見狼牙須國之山,於是南達雞籠島,至於赤土之界, 月餘至其國都.
Belayar lagi ke selatan sampai ke batu singa, ia adalah sekumpulan pulau-pulau yang bersambungan (dipercayai ialah pulau-pulau sekitar Koh Samui). Kemudian belayar lagi selama 2 - 3 hari nampaklah pada pandangan gunung negara Langkasuka di bahagan barat. Akhirnya sampailah ke selatan iaitu Pulau 雞籠 Jī lóng, maka di sinilah sempadan Chìtǔ. Sebulan lebih barulah sampai ke ibu kota Chìtǔ.
Jika kita melihat kepada peta selatan Thailand sekarang, dari batu singa iaitu pulau-pulau Koh Samui belayar 2 - 3 hari boleh nampak gunung negara Langkasuka bermakna ketika itu mereka berada di sekitar Nakhon Si Thammarat kerana yang dilihat ialah banjaran gunung Nakhon Si Thammarat. Oleh itu sempadan selatan Langkasuka ialah negara Chìtǔ yang tidak jauh dari Pulau Jī lóng. Dipercayai Pulau Jī lóng terletak di tempat yang bernama Talumphuk sekarang.
Menurut catatan 常骏 Cháng jùn yang telah sampai ke Chìtǔ mengatakan kapalnya telah ditarik oleh 30 buah kapal penarik selama sebulan dari pelabuhan dengan memudiki sungai untuk sampai ke ibu kota Chìtǔ. Yang dimaksudkan ialah dengan memudiki Sungai Kelantan sehingga ke Tanah Merah. Ketika itu kerajaan Tanah Merah amat kaya dengan penghasilan emas. Perkataan 赤土 Chìtǔ bermakna tanah merah. Selepas abad ke 7 Chìtǔ hilang dari rekod China dan dipercayai Langkasuka telah menakluki Chìtǔ.
Ini bermakna Langkasuka boleh dibahagikan kepada dua era. Di era pertama Langkasuka yang didirikan bermula di abad pertama Masehi oleh orang-orang Funan atau Khmer yang bermula dari Segenting Kra sehingga ke sempadan Chìtǔ. Manakala di abad ke 7 Langkasuka telah menakluki Chìtǔ yang dianggap era kedua Langkasuka. Chìtǔ yang didiami oleh orang-orang Melayu inilah yang disebut dalam banyak kitab-kitab dan hikayat Melayu sebagai Langkasuka. Semasa keagongan Srivijaya, negara Langkasuka menjadi sebuah daripada negara naungan Srivijaya. Bagaimanapun setelah kemerosotan Srivijaya dengan Siam pula menguasai bahagian utara Langkasuka di hujung abad ke 13 maka bumi Langkasuka yang tinggal ialah di bahagian selatan sahaja iaitu yang dulunya negara Chìtǔ.
Kemudiannya Langkasuka yang inilah tempat lahirnya kerajaan Melayu Ligor, Singgora dan Pattani. Maka kita harus membezakan Langkasuka di awalnya adalah didirikan oleh orang-orang Funan atau Khmer di abad pertama manakala Langkasuka yang dibina oleh orang-orang Melayu kemudiannya adalah di bahagian selatan yang dulunya negara Chìtǔ.
Dari buku 诸蕃志 Zhū fān zhì tulisan Chau Ju-kua yang diterbitkan dalam tahun 1225 menyebut, "佛罗安国,自凌牙斯加四日可到,亦可遵陆". Dari Líng yá sī jiā iaitu Langkasuka ke Fó luó ān yakni Kedah Tua boleh sampai (dengan kapal) selama 4 hari, juga boleh menggunakan jalan darat. Ini bermakna Langkasuka bersempadan dengan Kedah Tua.
Chau Ju-jua juga menyebut, "凌牙斯加国,自单马令风帆六昼夜可到,亦有陆程". Dari Dān mǎ lìng iaitu Tambralingga ke Langkasuka dengan kapal layar boleh sampai dalam 8 hari pelayaran siang malam, boleh juga menggunakan perjalanan darat. Ini bermakna Langkasuka, Kedah Tua dan Tambralingga adalah saling berjiran.
Dipercayai antara abad ke 7 - 13 Dān mǎ lìng iaitu Tambralingga telah berpecah daripada Langkasuka kerana catatan 常骏 Cháng jùn di tahun 607 tidakpun menyebut tentang wujudnya Dān mǎ lìng. Dalam catatan Zhū fān zhì menyebut Dān mǎ lìng adalah salah sebuah daripada 15 buah negara naungan Srivijaya.
Oleh itu keluasan Langkasuka adalah bermula dari Segenting Kra sehingga ke Lembangan Sungai Kelantan yang dulunya adalah negara 赤土 Chìtǔ. Bagaimanapun, bermula di hujung abad ke 13 telah bermula kebangkitan kerajaan Siam dari Dinasti Sukhothai yang menyerang kerajaan Srivijaya bermula dari Langkasuka.
Dalam catatan Dinasti Yuan atau dinasti orang-orang Monggol menyebut, "暹国,当成宗元贞元年 .... 以暹人与麻里予儿旧相仇杀,至是皆归顺,有旨谕暹人“勿伤麻里予儿,以践尔言”. Pada tahun pemerintahan Maharaja Chéng zōng (Temur Khan) yang pertama (1295), utusan Siam telah datang menghadap. Disebabkan perdendaman lama antara orang Siam dengan orang Maliyuer (Melayu) dan saling berbunuhan tetapi kini sudah menurut perintah. Lalu diarahkan oleh Maharaja supaya orang Siam "tidak lagi mencederakan Maliyuer dan laksanakan janji kamu".
Dipercayai maksud "Maliyuer" bukannya bermaksud bangsa Melayu tetapi merujuk kepada kerajaan Srivijaya yang berpusat di Kampar yang selalu disebut sebagai Kerajaan Melayu. Menurut catatan Chau Ju-kua dalam bukunya Zhū fān zhì yang diterbitkan dalam tahun 1225 mengatakan ketika itu Jambi telah merdeka dari Srivijaya dan memaksa ibu kota Srivijaya berpindah dari Jambi ke Kampar. Akhirnya Langkasuka tidak berdaya untuk melawan asakan angkatan tentera Siam dan bahagian utara Langkasuka menjadi tanah jajahan Siam lebih awal. Ini kerana dalam masa yang sama kerajaan pusat Srivijaya di Kampar masih diperangi oleh kerajaan Singhasari dari Jawa Timur yang diketuai oleh rajanya Kartanegara dalam tahun 1275 - 1292.
Semasa Dinasti Yuan (1260 - 1368) dikatakan hubungan dagangan antara China dengan Langkasuka amat rancak. Juga dicatatkan Islam telah berkembang di Langkasuka. Ia dipercayai dari kawasan selatan yang kemudiannya membentuk kerajaan Pattani di pertengahan abad ke 15. Dalam peta Zheng He's Navigation Map 郑和航海图 Zhèng hé hánghǎi tú mencatatkan perkataan 狼西加 Láng xī jiā iaitu Langkasuka terletak ke utara Terengganu dan Kelantan.
Ditulis oleh:
Megat Hisemudin Megat Kasim