Wednesday, March 10, 2021

perjanjian sial

Copypaste dari FB,

HARI INI DALAM SEJARAH : PERJANJIAN BANGKOK (1909)

Hari ini 112 tahun yang lalu, satu perjanjian yang mengubah nasib umat Melayu telah berlangsung. Perjanjian itu dibuat oleh Kerajaan Britain dan Kerajaan Siam pada 10 Mac 1909 yang memfaraidkan negeri-negeri Melayu di utara Semenanjung Tanah Melayu sesama mereka. 

Ia ditandatangani di ibukota Siam – Bangkok, justeru ia turut dikenali dengan nama Perjanjian Bangkok (1909). Inilah perjanjian yang memisahkan adik-beradik, kaum kerabat serta saudara mara dan boleh dikatakan menjadi titik hitam dalam sejarah umat Melayu.  

Britain pada awal abad ke-20 berusaha untuk meneguhkan kedudukannya  dalam menghadapi  Perancis di rantau Asia Tenggara.  Untuk itu, ia berunding bagi mendapatkan kerjasama Siam dalam menghadapi saingannya. Siam pula yang ketika itu di bawah pemerintahan Raja Chulalongkorn (Rama V) (1868-1910) sedang melakukan pembaharuan demi menghadapi cabaran kuasa-kuasa  imperialis Eropah. 

Bagi Siam, Perancis lebih berbahaya, justeru ia sanggup berunding dengan Britain demi memelihara kemerdekaannya.  Siam menganggap negeri-negeri di utara Semenanjung Tanah Melayu kawasan naungannya. Penasihat Raja Chulalongkorn yang bernama Strobel menasihatkan baginda agar melepaskan kawasan-kawasan ini kerana ia jauh dari Bangkok, serta memakan belanja yang besar dari segi pentadbiran berbanding hasil yang diperoleh.  

Rundingan dibuat oleh Siam dengan Britain. Antara terma  perjanjian ialah Britain memperolehi negeri-negeri Melayu yang dianggap Siam negeri naungannya - Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Bagaimanapun daerah Setul dan negeri Patani kekal menjadi hak milik Siam. 

Sempadan  kawasan-kawasan yang diserahkan ditentukan melalui satu Protokol Sempadan. Ia dilampirkan dengan teks perjanjian tersebut. 

Britain pula melepaskan hak 'extra-territoriality' yang dinikmati oleh rakyatnya. Ini bermakna semua rakyat Britain di Siam selepas perjanjian dimeterai adalah tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Siam. 

Penetapan garisan sempadan dibuat oleh sebuah suruhanjaya yang dianggotai oleh pegawai-pegawai British dan Siam.  Gugusan Pulau Langkawi dan pulau-pulau  ke selatannya  kekal menjadi milik British; manakala gugusan Pulau Terutau dan pulau-pulau ke utara menjadi milik Siam. Selat di antara P.Langkawi dan P.Terutau ialah garis pemisah kawasan British-Siam. 

Sempadan darat pula secara umumnya ditentukan oleh legih sungai. Ia bermula di sebelah pantai barat dari tebing utara Sungai Perlis dan menyusuri banjaran bukit yang menjadi legeh Sungai Perlis dan Sungai Pujoh (membentuk sempadan Perlis-Setul).  Ia berterusan  melalui kawasan bukit dan gunung yang menjadi legeh sungai-sungai yang mengalir masuk ke Selat Melaka di satu pihak dan Teluk Siam di satu pihak lagi. 

Legeh sungai ini merentasi hulu Sungai Patani, Sungai Perak dan Sungai Teluban hingga ke hulu Sungai Pergau; di sini sempadan diteruskan melalui legeh Sungai Teluban-Sungai Pergau hingga sampai ke Bukit Jeli. Dari situ, sempadan ditetapkan mengikuti hulu utama Sungai Golok, berpandukan thalweg Sungai Golok hingga ke laut di sebuah tempat bernama Kuala Tabal (Takbai).

Garis sempadan (delineation of boundaries) ini memberi kesan berikut:  

(1)  seluruh lembah Sungai Chenak, Sungai Tiba, Sungai Patani, Sungai Teluban, Sungai Tanjung Mas dan tebing barat Sungai Golok diperolehi  Siam; manakala seluruh lembah Sungai Perlis, Sungai Kedah, Sungai Muda, Sungai Perak, Sungai Pergau, dan tebing timur Sungai Golok diserahkan kepada Britain.

(2) Daerah Setul yang asalnya milik Kedah diperolehi  oleh Siam. 

(3) Seluruh Negeri  Patani (yang merangkumi 7 buah negeri  kecil Patani ), serta daerah Chenak dan Tiba (Chana & Thepha) diperolehi Siam.

(4) Bahagian hilir Sungai Golok yang merangkumi daerah Kuala Tabal hingga Menara (Narathiwat) yang asalnya milik Kelantan diserahkan kepada Siam.

(5) Bahagian selatan negeri Reman (kawasan pertikaian Perak-Reman) diserahkan kepada British.

(6) Bahagian selatan negeri Legeh (Daerah Jeli sekarang) diserahkan kepada British.

Dengan termeterinya perjanjian ini, niat British untuk mendominasi  Semenanjung Tanah Melayu dan mengelakkan campurtangan oleh kuasa barat lain tercapai.  Siam pula dapat mengukuhkan kuasa di kawasan yang diperolehi menerusi perjanjian ini,  di samping melakukan proses pemodenan dengan lebih rancak.  

Bagaimanapun Siam tidak sedar bahawa kawasan Patani yang ia mahukan sangat itu menjadi duri dalam daging dari sudut keselamatan negaranya. Kewujudan etnik Melayu yang beragama Islam yang mempunyai ketamadunan dan sejarah panjang melalui  Kerajaan Langkasuka dan Kerajaan Patani menyumbang kepada konflik yang tidak berkesudahan sehingga sekarang.

 Perjanjian ini jugalah yang  menjadi asas kepada  sempadan Malaysia-Thailand. 
 
Pada hemat saya British agak berlembut dengan Siam. Ini mudah difahami kerana British mahu Siam menjadi negeri penampan (buffer state) daripada kawasan milik Perancis di Indo China dan di Burma. Perunding British didapati  tidak berkeras seperti perunding Perancis dalam penentuan garis sempadan. 

Pegawai-pegawai British di Tanah Melayu umumnya memusuhi Siam. Mereka  cenderung untuk menggabungkan kesemua wilayah yang majoriti  penduduk Melayu ke dalam kekuasaan British.  Jika perunding Britain mengikuti kehendak  pegawai-pegawai itu,  besar kemungkinan (i) Setul kekal dengan Kedah; (ii) seluruh Patani bersama-sama daerah Chenak dan Tiba akan dimasukkan dalam kawasan milik British. 

Kalau ini berlaku maka sempadan kita tidak sama seperti sekarang – Setul menjadi  kawasan yang paling utara di Semenanjung, manakala sempadan Malaysia –Thailand di pantai timur berada tidak jauh dari bandar Songkhla.  

Ramai orang melahirkan rasa duka apabila apabila membaca sejarah kegemilangan tamadun Islam di Semenanjung Iberia (Sepanyol dan Portugal sekarang).  Mereka sedih melihat peninggalan sejarah serta  warisan Islam dimiliki orang lain. Namun mereka tidak sedar bahawa  di depan mata mereka ada 'Andalus di Alam Melayu' iaitu Patani.

Sumber peta: http://patanibook.blogspot.com/2007/12/anglo-siamese-treaty-of-1909.html

erti

Dari grup sunnah Thtl : Salaf= moyang, pendahulu, pioneer. Mcm salaf kuala lumpur (peneroka awal KL) Salafussoleh= generasi 1-300 tahun pert...