Wednesday, March 17, 2021

harum M

๐— ๐—ฒ๐—ป๐—ด๐—ฎ๐—ฝ๐—ฎ ๐—›๐—ฎ๐—ฟ๐˜‚๐—บ๐—ฎ๐—ป๐—ถ๐˜€ ๐— ๐—ฎ๐—ต๐—ฎ๐—น?

KANGAR : Setiap kali tiba musim mempelam harumanis di Perlis, antara isu yang sering diperdebatkan orang ramai khususnya dari luar negeri ini adalah berkaitan harga yang dikatakan terlalu tinggi.

Berikutan itu, khususnya di media-media sosial, timbul pelbagai ungkapan kononnya harga harumanis Perlis ‘cekik darah’, harga ‘Yahudi’ dan pelbagai lagi perkataan sinis lain.

Bagaimanapun, perkara tersebut langsung tidak menjejaskan permintaan terhadap harumanis setiap tahun yang sentiasa menunjukkan peningkatan.

Harga pasaran mempelam harumanis adalah sekitar RM35 hingga RM40 sekilogram dengan musim ini dijangka hasil sudah boleh dituai pada pertengahan April hingga Julai ini.

Namun, ramai yang tidak tahu proses penjagaan dan penyelenggaraan pokok harumanis sebenarnya bukan mudah selain menelan kos cukup tinggi bagi menghasilkan buah berkualiti seterusnya menjamin kepuasan para pembeli.

Harumanis memerlukan penjagaan sepanjang tahun dengan kos ladang dikatakan sangat tinggi iaitu bagi sekilogram buah tersebut dianggarkan menelan belanja sekitar RM10 hingga RM12.

Bagi setiap penjagaan 100 pokok harumanis yang dianggarkan boleh menghasilkan 1,000 kilogram buah berkenaan pula dikatakan menelan kos sehingga RM12,000.

Jadi tidak hairanlah apabila pembeli perlu mengeluarkan perbelanjaan lebih untuk setahun sekali bagi menikmati keenakan buah yang menjadi ikon negeri Perlis itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Pengusaha Harumanis negeri, Datuk Hashim Suboh berkata, penjagaan harumanis bukan mudah selain memerlukan ketelitian dan pemantauan sepanjang tahun.

Katanya, harumanis melibatkan dua komponen iaitu harum dan manis sekali gus memudahkan serangan serangga perosak terutama lalat buah, ulat batang dan pelbagai lagi jenis serangan lain yang memerlukan penjagaan rapi sebelum menghasilkan buah.

“Harumanis terpaksa dijaga sepanjang tahun menyebabkan kos ladang tinggi. Kos penjagaan bagi perkilogram buah antara RM10 hingga RM12. Malah, margin keuntungan bagi sekilogram pula sekitar RM6 sehingga RM8 bagi harga ladang iaitu sekitar RM18 hingga RM20 sekilogram.

“Jika pengusaha menghasilkan 1,000 kilogram harumanis bagi setiap 100 pokok satu musim, margin keuntungan hanya sekitar RM8,000 dengan pengusaha pula perlu menjaga tanaman tersebut sepanjang tahun.

“Dengan margin tersebut bayangkan dengan penjagaan sepanjang tahun perlu dilakukan para pengusaha. Jadi daripada soal harga sepatutnya semua orang ramai perlu memahami bagaimana kesukaran pengusaha harumanis bagi menghasilkan buah berkualiti untuk kepuasan para pembeli setiap tahun,” katanya.

Tambah Hashim, para pengusaha sentiasa menitikberatkan kualiti harumanis seterusnya menjaga nama baik ikon negeri Perlis itu.

Sementara itu, seorang pengusaha dari Arau, Fadzlul Hadi Ishak, 31, berkata, jika tidak dijaga dengan baik, buah berkenaan menjadi buruk serta berulat akibat serangan lalat buah atau nama saintifiknya Bactrocera.

“Harumanis memerlukan cuaca panas untuk menyuburkan bunga selain perlu sentiasa disiram. Jika hujan berlebihan pun tidak boleh juga. Apabila pokok mengeluarkan buah, ia perlu dibalut daripada kecil sehingga tempoh matang.

“Apabila habis musim buah, pokok perlu dipangkas untuk pengeluaran buah baharu.
Penjagaan agak rumit dan cerewet dengan daripada segi racun pada awal musim bunga, vitamin untuk suburkan buah dan dibalut,” katanya yang mempunyai 31 pokok harumanis.

Sebagai rekod, hampir 3,000 pengusaha harumanis di negeri ini melibatkan keluasan tanaman sekitar 2,260 hektar dengan hasil tahun ini dianggarkan 3,000 tan metrik.

Gambar : Seorang pengusaha menunjukkan antara bunga harumanis yang rosak di kebunnya di Simpang Empat, Arau, Perlis.

Artikel Asal : https://tinyurl.com/mfxp2pyw

Sumber : Utusan Malaysia

#PerlisPermai๐Ÿ’›๐Ÿ’™ #Harumanis

erti

Dari grup sunnah Thtl : Salaf= moyang, pendahulu, pioneer. Mcm salaf kuala lumpur (peneroka awal KL) Salafussoleh= generasi 1-300 tahun pert...