Catatan saya mengenai sikap masyarakat yang memberat-beratkan soal bersuci semalam telah menimbulkan kemarahan.
(https://www.facebook.com/hasrizalabduljamil/photos/a.1627119244221193/2587686504831124/?type=3). Saya dilabel wahabi, liberal, tidak matang, dan macam-macam lagi yang tidak molek dicatat di sini.
(https://www.facebook.com/hasrizalabduljamil/photos/a.1627119244221193/2587686504831124/?type=3). Saya dilabel wahabi, liberal, tidak matang, dan macam-macam lagi yang tidak molek dicatat di sini.
Kemarahan itu membantu saya untuk memahami apakah yang telah dihadapi oleh Imam Birgivi semasa mengkritik perkara yang sama pada abad ke-16 Daulah Uthmaniyyah. Di dalam gambaran yang lebih besar, idea Imam Birgivi ialah kejatuhan umat (atau daripada perspektif kita, Daulah Uthmaniyyah), adalah kerana kemerosotan akhlak. Mengaitkan masalah akhlak dengan kejatuhan kuasa politik dan ketamadunan, adalah apa yang menjadikan Imam Birgivi dikaji oleh penyelidik di seluruh dunia, seperti Dr. Katharina Ivanyi dan lain-lainnya.
Mengapa Imam Birgivi mempertikai sikap masyarakat yang berlebih-lebihan dalam bab bersuci, hingga lupa kepada sifat hukum asal? Jika kita lanjutkan lagi pembacaan karya beliau al-Tariqah al-Muhammadiyyah wa al-Sirah al-Ahmadiyyah yang beliau selesai tulis kurang setahun sebelum kembalinya beliau ke rahmatullah pada tahun 1573, kita akan dapati, Imam Birgivi menyambung bab sifat melampau dalam bersuci, penyakit was was, bagaimana merawat sifat was was, dengan bab perlunya berhati-hati makan jamuan yang dianjurkan oleh pegawai-pegawai kerajaan dan mereka yang bekerja di dalam institusi pentadbiran termasuk Baitulmal dan Waqaf.
Beliau menjelaskan mengapa dalam bab ini kita tidak boleh ambil mudah.
Pemerintah, pegawai kerajaan, ramai yang rosak akhlak mereka di dalam muamalat. Mereka menganiaya, mengambil upah pada benda yang tidak sepatutnya. Manakala peniaga pula tidak jujur dalam perniagaan, peladang dan petani yang memasarkan produk mereka menipu di dalam perniagaan dan pelbagai lagi kritikan sosial yang beliau lakukan.
Dengan kerosakan akhlak golongan ini, adalah tidak munasabah untuk tidak wara' dalam perkara syubhat berkaitan halal haram. Berhati-hati terhadap sumber rezeki halal haram, adalah lebih berat berbanding najis atau tidak najis, kata Imam Birgivi.
Lalu diberilah beberapa garis panduan, macam mana kita patut bersikap dalam hal ini.
Imam Birgivi dibenci ramai, terutamanya oleh mereka yang berjawatan di zamannya.
Beliau telah meletak jawatan dan memulangkan seluruh gaji yang diterimanya selama 4 tahun semasa bekerja di dalam mahkamah tentera Daulah Uthmaniyyah. Beliau nekad meninggalkan Istanbul, dan berhijrah ke Birgi di daerah Ödemiş, menjadi pendidik di Darul Hadith, hidup bersederhana malah di dalam keadaan miskin hingga ke akhir hayatnya.
Itulah yang saya menungkan, semasa berjaya sampai ke pusara Imam Birgivi pada tahun 2013 yang lalu.
Sedih memikirkan nasib Imam Birgivi yang dibenci semasa hayatnya kerana cuba melakukan islah terhadap masyarakat yang berada di ambang kemerosotan akibat kemerosotan akhlak mereka sendiri.
Saya tidak dapat bayangkan jika di zaman itu ada Facebook, bagaimanakah agaknya makian masyarakat terhadap Imam Birgivi. Zaman yang menyaksikan kopi pun sudah boleh menggugat istiqamah masyarakat. Hingga tidak solat tarawih di masjid kerana melepak di kedai kopi, satu fenomena baharu yang muncul di Istanbul pada zaman tersebut apabila kopi dibawa masuk dari negara Arab ke ibu kota Daulah Uthmaniyyah tersebut.
Wahai cikgu sekolah bernama Hasrizal, tabahkan hati dengan cacian atau makian orang. Engkau bukan yang pertama, dan bukan yang terakhir. Malah usaha engkau terlalu jauh untuk dibandingkan dengan usaha ilmuan seperti Imam Birgivi dan lain-lainnya.
Teruskan perjalananmu.
Pendidikan jalan islah.
قَالَ يَا قَوْمِ أَرَأَيْتُمْ إِن كُنتُ عَلَىٰ بَيِّنَةٍ مِّن رَّبِّي وَرَزَقَنِي مِنْهُ رِزْقًا حَسَنًا ۚ وَمَا أُرِيدُ أَنْ أُخَالِفَكُمْ إِلَىٰ مَا أَنْهَاكُمْ عَنْهُ ۚ إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّهِ ۚ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ - 11:88
Nabi Syuaib berkata: "Wahai kaumku! Bagaimana fikiran kamu, jika aku berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhanku, dan Ia pula mengurniakan daku pangkat Nabi sebagai pemberian daripadaNya, (patutkah aku berdiam diri dari melarang kamu) sedang aku tidak bertujuan hendak melakukan sesuatu yang aku melarang kamu daripada melakukannya? Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali. (Surah Hud 11: 88)