(SURAH ANNISA’/PEREMPUAN-PEREMPUAN)
PENGENALAN SURAH ANNISA’:
Surah Annisa’ adalah Madaniyyah. Mengandungi seratus tujuh puluh enam ayat. Merupakan surah yang keempat mengikut susunan surah-surah dalam al-Quran. Dalam sohih Bukhari melalui riwayat 'Aisyah jelas menggambarkan bahawa surah Annisa'’adalah diturunkan di Madinah:
ما نزلت سورة " النساء " إلا وأنا عند رسول الله - صلى الله عليه وسلم
Maksudnya: Surah Annisa’ turun semasa aku telah tinggal bersama Rasulullah saw (Di Madinah).
‘Aishah memulakan hidupnya bersama Rasulullah saw di Madinah pada bulan Syawwal tahun pertama hijrah.
NAMA SURAH ANNISA’:
Surah Annisa’ dinamakan النساء الكبرى (Annisa’ Besar/Lengkap) kerana kandungan ayatnya paling banyak membicarakan isu yang berkaitan wanita. Manakala surah Attolaq pula disebut sebagai النساء القصرى (Annisa’ Ringkas) kerana ianya juga banyak membicarakan isu berkaitan wanita walaupun tidak sebanyak surah Annisa’.
KEISTIMEWAAN SURAH ANNISA’:
Al-Hakim telah meriwayatkan dalam Mustadraknya dari Abdul Rahman bin ‘Abdullah bin Mas’ud katanya: Sesungguhnya lima ayat dari surah Annisa’ sangat mengenbirakan aku melebihi sekiranya aku memiliki dunia dan seisinya;
إِنَّ اللَّهَ لَا يَظْلِمُ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu)………………………… (4:40)
إِنْ تَجْتَنِبُوا كَبَائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ
Maksudnya: Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya,..................... (4:31)
إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua) dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya)............ (4:48) , (4:116)
إِذْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ جَاءُوكَ
Maksudnya: .........kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Muhammad).......... (4:64)
KANDUNGAN SURAH ANNISA’:
Membicarakan tentang hukum keluarga dan komuniti manusia serta hubungan keluarga dengan masyarakat islam yang lebih besar. Surah Annisa’juga memperjelaskan asal kejadian manusia dari diri yang satu iaitu Adam as dan perkembangan keturunan mereka menjadi pelbagai bangsa yang bertebaran di serata pelusok dunia. Selain memberi kefahaman tentang konsep kejadian dan hubungan manusia surah ini juga menekankan kepada keseimbangan hubungan berkenaan dengan menekankan kepada konsep taqwa kepada Allah swt samaada secara individu dan kelompok. Konsep taqwa merupakan pengukuh kepada hubungan berkenaan. Melalui konsep ini manusia hanya menjadi hamba kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa tidak kepada sesama manusia yang lemah sifatnya.
Surah Annisa’ membicarakan secara terperinci tentang hukum-hukum berkenaan wanita dari sudut keadaan mereka sebagai anak perempuan dan juga sebagai seorang isteri. Memperjelaskan haq dan kebebasan wanita dalam pemilikan harta setanding lelaki walaupun lelaki adalah suami. Haq-haq wanita sebagai isteri dalam keluarga dari sudut mahar, nafqoh, haq layanan yang baik dan haq pesaka ayah dan suaminya. Dibincangkan juga hukum hakam berkenaan suami dan hubungan yang harmoni bersama isteri sebagai pasangan hidup.
Perbincangan dalam surah Annisa’ turut menyentuh hubungan kekeluargaan mahram dan hubungan persemendaan. Bagaimana menyelesaikan isu perbalahan antara suami dan isteri, keperluan menjaga ikatan perkahwinan, sebab apa lelaki dikatakan pelindung wanita dan apakah status ini sebgai lesen untuk suami menjadi diktator? Atau itu semua merupakan bebanan dan tanggungjawab untuk memudahkan dan melancarkan perjalanan satu komuniti kecil manusia.
Kemudian surah Annisa’ memperjelaskan neraca dan katakunci keutuhan sesebuah masyarakat yang mana ianya tegak di atas asas saling inginkan kebaikan dan saling bertanggungjawab, berkasih sayang, tolong menolong demi menguatkan struktur masyarakat.
Untuk melengkapkan hubungan dan mengukuhkan lagi ikatan kemasyarakatan dalam kerangka yang lebih besar iaitu hubungan masyarakat dengan masyarakat yang lain maka islam telah merangka sistem moral dan bentuk hubungan antarabangsa, peraturan-peraturan untuk kesejahteraan serantau dan sistem peperangan yang adil. Islam mengatur wacana dan forum serta pentas terbuka kepada golongan munafiq mengkritik dan bertanya tentang islam. Keterbukaan islam telah menjadi tamparan hebat kepada golongan munafiq yang sentiasa cuba untuk merosakkan suasana harmoni dalam masyarakat islam. Kesemua undang-undang dan peraturan yang dibuat bertujuan melahirkan sebuah masyarakat yang unggul dalam sebuah negara islam dan membersihkan daripada penyelewangan akidah dari landasan tauhid yang berpaksikan kepada akal yang sihat dan dalam masa yang sama membersihkan pemikiran manusia dari fikrah triniti (Konsep tiga tuhan) yang menyimpang jauh dari kehendak fitrah yang suci dan ketenangan jiwa. Ini jelas berdasarkan kepada firman Allah dalam surah Annisa’berikut;
يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لَا تَغْلُوا فِي دِينِكُمْ وَلَا تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ إِلَّا الْحَققَّ إِنَّمَا الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ رَسسُولُ اللَّهِ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِنْهُ فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَلَا تَقُولُوا ثَلَاثَةٌ انْتَهُوا خَيْرًا لَكُمْ إِنَّمَا اللَّهُ إِلَهٌ وَاحِدٌ سُبْحَانَهُ أَنْ يَكُونَ لَهُ وَلَدٌ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَكَفَى بِاللَّهِ وَكِيلًا
Maksudnya: Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya Al Masih Isa Ibni Mariam itu hanya seorang pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikanNya kepada Mariam dan (dia juga tiupan) roh daripadaNya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya dan janganlah kamu mengatakan: (Tuhan itu) tiga. Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan cukuplah Allah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya). (4:171)