Tuesday, December 13, 2016

Bahaya

~Sejarah Kita, Penyebaran Kesesatan Syiah Di Alam Melayu~

Oleh: Dr. W Mohd Azam Mohd Amin

Kajian mendapati bahawa dari tahun 1979 sehingga awal tahun 90an, banyak penulisan-penulisan tentang ideologi Syi’ah dalam bahasa Parsi, Inggeris dan Arab diterjemahkan ke bahasa Indonesia. Antara buku-buku tersebut adalah Nahjul Balaghah, Peshawar Nights, Dialog Sunni-Syiah, Isu-isu penting Ikhtilaf Sunnah-Syi’ah, In search of truth, Stairway to heaven, Yanabi’ al-mawaddah dan lain-lain lagi. Buku-buku ini menjadi bahan bacaan kepada penuntut-penuntut institusi pengajian tinggi dan masyarakat awam. Di samping itu juga buku-buku terjemahan dalam bahasa Indonesia dari Penerbit Mizan juga dibawa masuk ke pasaran tempatan. Isu-isu yang dibawa adalah perkara-perkara khilafiyah dalam fekah seperti sembahyang jamak dan qasar, solat dengan batu atau tanah dari Karbala’, penambahan lafaz dalam azan, kahwin mut’ah, konsep ahl al-bayt, hadith thaqalayn, hadith Ghadir Khum dan lain-lain lagi. Walau bagai mana pun penulisan-penulisan asli dalam bahasa Melayu tentang Syiah di Malaysia adalah terlalu kurang.

Terdapat juga dialog dan polemik di antara beberapa ahli akedemik yang condong kearah Syi’ah dengan tokoh-tokoh tempatan disiarkan di akhbar harian iaitu akhbar Berita Harian dan akhbar Watan di era 80an. Polemik yang disiarkan itu berlarutan sehingga beberapa bulan, adalah di antara Lutfi Ibrahim, seorang pensyarah di Universiti Malaya dan Putera Sunni (Muhammad Uthman el-Muhammady), seorang pendakwah bebas. Polemik ini dapat dilihat dalam akhbar Berita Harian  7hb. Jun 1985, 28hb Jun 1985, 29hb. Jun 1985, 18hb Julai 1985. Begitu juga dalam akhbar  Watan, 25hb. Mac 1989, 4hb April 1989, 8hb April 1989 dan 11hb April 1989.

Pada tahun 1987, Ashaari Muhammad pengasas kumpulan Darul Arqam telah menulis sebuah buku bertajuk ‘Bahaya Syiah’. Beliau telah berpeluang menyertai rombongan ke Republik Iran pada tahun 1982 dan menceritakan pengalamannya di sana. Beliau menulis dengan memperkenalkan firqah Syiah Imamiyyah, dan mengkritik tentang amalan sembahyang jamak dan qasar tanpa sebab, seruan azan yang diubah, konsep hadith dan penolakan majoriti Sahabat nabi, konsep khulafa’ al-Rashidin, nikah mut’ah dan lain-lain lagi Beliau mengkhiri buku tersebut dengan memberikan amaran tentang kesan bahaya yang akan dicetuskan oleh Revolusi Iran. Walau pun kritikan dan amaran beliau amat jelas, tetapi beliau berdiam diri tentang konsep Imam Mahdi. Hal ini adalah disebabkan beliau telah menjadikan konsep Imam Mahdi sebagai akidah kumpulannya. Imam Mahdi bagi kumpulan ini ialah seorang berbangsa Melayu, lantas menolak Imam Mahdi yang menjadi pegangan dalam Syiah Imamiyyah.

Terdapat juga latihan-latihan ilmiah yang ditulis oleh para pelajar institusi pengajian tinggi tentang Syi’ah di Malaysia. Umi Kalthum Zubaidah Shihabuddin telah melakukan kajian yang bertajuk ‘Sejarah perkembangan aliran Syiah: pengaruhnya dalam Masyarakat Melayu di Wilayah persekutuan masa kini: Kajian khusus di Kuala Lumpur’. Latihan ilmiah ini ditulis pada tahun 1991 di Universiti Malaya. Umi Kalthum dalam salah satu kesimpulannya menyebut bahawa pengaruh Syiah sememangnya wujud dalam masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur lebih-lebih lagi mereka yang mempelopori isu Syiah adalah dari kalangan orang Melayu Ahlussunnah yang terpelajar.

Norainawati Ishak juga telah menulis satu latihan ilmiah yang bertajuk ‘Shi’ah Imamiyyah: Sikap mereka terhadap para sahabat: Satu kajian terhadap pandangan intelektual Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur’ di Jabatan Usuluddin, UKM pada tahun 1992. Beliau membuat kesimpulan bahawa memang terdapat pengaruh Syiah dalam pemikiran intelektual Islam. Hal ini dapat dibuktikan dengan berbagai aktiviti yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur.

Pada tahun 1993 Universiti Kebangsaan Malaysia telah menganjurkan satu seminar peringkat kebangsaan tentang Syiah Imamiyyah dan telah menerbitkan satu prosiding seminar yang berjudul “Aspek Persamaan dan perbezaan: Prosiding Seminar Ahli Sunnah dan Syiah Imamiyyah” dan diterbitkan pada tahun 1996.

Wan Zailan Kamarudin bin Wan Ali telah menulis satu artikel yang bertajuk “Aliran Syi’ah di Nusantara: Perkembangan, Pengaruh dan Kesan” telah mendapati bahawa banyak amalan-amalan adat Melayu adalah kesan pengaruh Syi’ah. Amalan-amalan dan istilah tersebut adalah seperti Kenduri Arwah, pokok Tongkat Ali, Kacip Fatimah, amalan Berzanji dan lain-lain lagi.

Pada tahun 1997, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah menerbitkan sebuah buku yang berjudul “Penjelasan terhadap fahaman Syiah” telah menghuraikan secara ringkas doktrin-doktrin ajaran Syiah. Buku ini pada asasnya memperkenalkan Syiah kepada orang awam dan memberi peringatan bahawa Syiah adalah satu kumpulan yang menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar. Walau bagaimana pun buku ini membincangkan puak Syi’ah secara umum sahaja.

Selepas tahun 2000 pengaruh Syi’ah semakin kuat bertapak di kalangan orang Melayu termasuk ahli akademik, politik dan juga kumpulan sasterawan dan persuratan. Kumpulan Syi’ah Melayu mempunyai laman blog yang dinamakan ‘Pencinta Nabi s.a.w Dan Ahli Bait a.s’. Kumpulan ini mempunyai pusat perjumpaannya yang tersendiri.

Penulis artikel ini juga menghasilkan sebuah buku berjudul ‘Ajaran Sesat’ pada tahun 2001. Penulis telah memasukkan firqah Syiah terutamanya puak Syiah Isma’iliyyah dan cabang-cabangnya ke dalam ajaran sesat kerana beberapa doktrin tentang akidah telah menyeleweng dari al-Qur’an dan Sunnah. Doktrin-doktrin tersebut adalah seperti doktrin Nur Muhammadi, Imam Mahdi, tafsiran batin, konsep Kiamat dan lain-lain lagi. Penulis juga berpendapat Syiah ghulat (ekstrim) merupakan ‘pintu masuk’ ajaran sesat ke rantau Asia Tenggara terutama Malaysia, Indonesia, Brunei dan lain-lain lagi.

Pada tahun 2003, Kamis bin Ismail telah menyiapkan tesis yang bertajuk ‘Syiah dan Pengaruhnya dalam bidang Politik dan Tasawwuf Falsafah di Alam Melayu Zaman Tradisional’ di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau mendapati Syiah telah lama bertapak di alam Melayu mendahului golongan Sunni. Walau bagaimanapun aliran pemikiran Sunni member impak yang mendalam dalam berbagai aspek mengatasi pemikiran Syiah kecuali dalam bidang tasawwuf falsafi dan nama-nama kebesaran diraja.

Pada tahun 2011, Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya ‘Historical Fact and Fiction’ telah menegaskan bahawa golongan berketurunan Sayyid dan Syarifah dari keturunan Rasulullah yang datang ke alam Melayu menyebarkan fahaman Sunni dan fekah Shafi’i dan menolak sesetengah andaian yang mengatakan mereka datang menyebarkan fahaman Syi’ah.

Muhammad Asri Yusoff telah juga menulis tentang ancaman Syiah di samping menjawab kritikan-kritikan yang dilemparkan kepada ahl al-sunnah wa al-jama’ah. Di antara buku-buku beliau ialah ‘Umar al-Khattab: Disanjung atau dihina” ditulis pada tahun 2004, ‘Ibnu Ishaq: Peranannya dalam Penyebaran Fahaman Syiah di kalangan Ummah”, “Syi’ah Rafidhah: Di antara kecuaian ‘Ulama’ dan Kebingungan Ummah” pada tahun 2010, “Siri Pemurniah Sejarah Awal Islam” pada tahun 2011, dan lain-lain lagi. Penulisan-penulisan ini sebenarnya adalah beberapa siri kertas kerja beliau yang telah dibukukan.

Beliau juga menulis beberapa artikel dalam majalah Dakwah seperti yang bertajuk “Akidah yang bercanggah dengan Islam”, “Beberapa Persoalan yang ditimbulkan oleh Syiah dan Jawapannya”, “Fitnah Syiah & Kekeliruan Ulama Mengenainya” dan “Beberapa Persoalan yang ditimbulkan oleh Syiah & Jawapannya (sambungan)”.

Mohd Asri yang menguasai bahasa Arab, Urdu dan Parsi telah membuat rujukan langsung ke dalam penulisan-penulisan tokoh-tokoh utama Syiah seperti al-Kulaini, Amuli, Baqir Majlisi dan lain-lain lagi. Beliau adalah penulis yang mengkritik ajaran Syiah dengan merujuk kepada rujukan-rujukan dari penulisan orang-orang Syiah sendiri dan tidak menggunakan bahan terjemahan dari bahasa Indonesia atau Inggeris.

Pada tahun 2011, menyedari ancaman dan kesan ajaran Syiah ini, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan telah juga menerbitkan sebuah buku yang bertajuk “Membendung Pengaruh Syiah” yang membincangkan ajaran-ajaran asas dalam kumpulan Syiah. Seterusnya pada tahun 2013, Mufti Wilayah Persekutuan Malaysia, Datuk Wan Zahidi bin Wan Teh telah juga menerbit sebuah buku yang bertajuk “Mengenal Hakikat Syiah”. Buku ini membincangkan hakikat firaq Syiah yang berpecah kepada berpuluh-puluh kumpulan serpihan dan mempunyai ajaran-ajaran tersendiri. Walau bagaimana pun terdapat beberapa ciri utama yang dikongsi oleh kesemua puak Syiah.

Kamaluddin Nurdin Marjuni, pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia menulis sebuah buku bertajuk “Agenda Politik Syiah: Dendam Warisan dalam mencari pemimpin Umat” pada tahun 2013. Beliau memperkenalkan dan mendedahkan mazhab-mazhab, cabang dan pecahan kecil Syiah dan doktrin-doktrin mereka. Penulisan ini membincangkan perbezaan di antara mazhab-mazhab dalam firaq Syiah dengan agak terperinci dan juga merujuk kepada sumber-sumber asal dari firaq Syiah dan juga dari Ahl al-sunnah. Di samping itu juga beliau mengumpul pendapat-pendapat ulama’ Sunni tentang kedudukan firaq Syiah dan ajaran-ajarannya.

Dalam bidang sastera dan persuratan, Mohd Faizal Musa atau nama penanya Faisal Tehrani mempunyai kecenderungan menyokong fahaman Syiah. Kalau penulis-penulis Melayu terdahulu yang bersimpati terhadap Syiah menghasilkan karya ulangan terjemahan Syiah ke dalam Bahasa Melayu dari bahasa Indonesia dan Inggeris, Faisal menghasilkan karya-karya asli berilhamkan doktrin-doktrin Syiah. Novel-novel beliau memasukkan konsep dan doktrin dari fahaman Syiah dan mengkritik beberapa doktrin ahl sunnah wa al-jama’ah. Ia diolah dalam bentuk novel dengan watak dan plot yang menarik. Di antara novel-novel beliau yang membawa idea-idea dan doktrin Syiah ialah ‘Sebongkah Batu di Kuala Berang’ dan ‘Perempuan Nan Bercinta’.

Justeru itu, kita patut berterima kasih kepada tokoh-tokoh/asatizah-asatizah sunnah yang banyak berjasa seperti Maulana Muhammad Asri Yusoff yang menghasilkan penulisan dan bertungkus lumus membongkar kesesatan Syiah Moden (Imamiyyah).

servis kete

Hari ni aku servis kete di mare. Tganu speak aku fail di bengkel pertama bila brader service tu tak dapat paham apa yang aku cakap. Aku nak ...