Tuesday, February 2, 2016

Teringat pak hamka

Dalam kecoh dan celaru, teringat pak hamka.

Dari dr maza.

Karya Prof Hamka TEGURAN SUCI DAN JUJUR TERHADAP MUFTI JOHOR!
Dengan rendah hati, saya ingin menggalakkan rakyat Malaysia membaca karya tokoh ilmuan Nusantara yang terbilang iaitu Prof Hamka rahimahulLah. Beliau pernah dihalang dari berdakwah di Johor. Beliau menulis satu kritikan terhadap Mufti Johor pada zamannya iaitu Sayyid Alwi bin Tahir al-Haddad. Mufti Johor berkenaan telah mengeluarkan kenyataan kononnya kelompok pembaharuan yang dituduh sebagai kaum muda atau pun wahabi penyebab orang jadi sesat, anti-mazhab, menolak ulama, terpengaruh dengan musuh Islam dan berbagai lagi. Kenyataan itu dibuat menerusi akhbar pada 14 Julai 1958. Prof Hamka sekalipun dari Indonesia mengambil tanggungjawab menjawab fitnah-fitnah tersebut.  Kata Prof Hamka: “Melihat cara-caranya samahah al-mufti sebagai pembela kaum-tua di dalam menghentam kaum-muda bagi beliau rupanya tidaklah mengapa memukul kaum-muda dengan membuat fitnah…sekarang samahah al-mufti rupanya memakai cara-cara pula: matlamat menghalalkan cara. Asal saja kaum-muda dapat dipukul hancur tidaklah mengapa berdusta”.

Antara yang beliau tulis dalam buku tersebut;

-“Memang apabila orang kehabisan hujah dan alasan, mereka pun kembali memakai perkakas fitnah. Dan inilah yang menyebabkan pecah belah umat Islam, berkaum tuan berkaum muda. Bagi kami yang dikatakan kaum muda itu tidaklah keberatan jika dituduhkan Wahabi. Kalau 20 atau 30 tahun yang lalu semasa pengetahuan agama hanya boleh dipercayai oleh mufti-mufti sahaja, mungkin orang takut dikatakan Wahabi. Tetapi sekarang orang telah tahu bahawa Wahabi tidak lain adalah daripada penganut Mazhab Hanbali dan memang mazhab Hanbali terkenal mazhab yang keras mempertahankan sunah. Dan yang berpengaruh memperbaharui faham Mazhab Hanbali itu ialah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qayyim. Oleh sebab itu bagi kami dituduh Wahabi bukanlah satu penghinaan.”

-“Bersama dengan penghinaan kepada Wahabi, diperbuat pula buku-buku yang memburukkan as-Sayyid Jamaluddin al-Afghani, dan as-Syeikh Muhammad Abduh, dan al-Sayyid Rasyid Ridha. Yang sangat bersemangat membuat buku demikian ialah al-Syeikh Yusuf bin Ismail al-Nabahani yang menjadi kadi di mahkamah Beirut dalam Kerajaan Turki. Bukunya ‘Shawahidul haq’ penuh dengan kata-kata yang penuh dengan fitnah dan penghinaan…kitab-kitab seperti inilah yang sampai ke tangan kaum-tua. Oleh kerana mereka biasa dengan taklid tidaklah mereka mahu membaca pula kitab-kitab lain yang menerangkan pokok-pokok pendirian yang sebenar daripada orang yang dihina dan dicela itu. Syeikh Yusuf al-Nabahani menyatakan bahawa as-Sayyid Jamaluddin dan Syeikh Muhammad Abduh tatkala mati terjulur lidah! Maka lekatlah kata-kata ini pada seluruh pembaca kitabnya. Syeikh Nabhani tidak sanggup menerangkan apakah kesalahan beliau-beliau itu, melainkan membuat fitnah yang tidak-tidak. Sampai as-Sayyid Rasyid Ridha dikatakan sama dengan Abu Jahal. Sehingga orang yang otaknya telah beku dan fikirannya tidak jalan, telah percaya kepada fitnah yang dibawa oleh al-Nabhani itu. Oleh kerana ulama yang mula-mula melepaskan tauhid Islam yang suci daripada khurafat dan bidaah mutasawwifin (kelompok sufi-pen) ialah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan muridnya-muridnya Ibnu Qayyim maka beliau-beliau inipun tidak pula lepas daripada serangan. Segala kata yang bukan-bukan pula yang diperbuat atas diri beliau-beliau itu. Memang apabila orang kehabisan hujah dan alasan, mereka pun kembali memakai perkakas fitnah. Dan inilah yang menyebabkan berpecah-belah umat Islam, berkaum tua berkaum muda”

-“Kedua, kata orang kami tidak menghormati ulama. Sebab mereka pun telah memasukkan pula sebuah lagi tiang baru ke dalam Islam, iaitu wajib menghormati ulama. Wajib taklid kepada ulama! Wajib taat kepada guru. Hal ini saya huraikan dengan saksama, kaum muda amat hormat kepada: ulama. Kaum-muda insaf bahawa pengetahuan yang kita dapat sekarang ini, manakan sampaikan ke tangan kita kalau bukan lantaran ulama. Kami sangat patuh kepada ulama ikutan kita keempat-empatnya: Imam Malik, Imam Syafie, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad bin Hanbal. Demikian cinta hormati kami kepada beliau-beliau sehingga kalau ada ulama yang menjadi pengawal di luar yang mencuba-cuba menghalangi kami buat bertemu dengan pendapat-pendapat beliau-beliau, kami sirwak (memalukan) apa ulama lain itu, dan kami berkata kepinggirlah engkau! Kami hendak bertemu dengan beliau keempat-empatnya (imam empat) menyuruh kami meneruskan perjalanan ke atas, ke hulu agama: kepada al-Kitab dan as-sunnah dan keterangan-keterangan yang diberikan oleh orang yang terdekat kepadanya, iaitu sahabat-sahabat Rasulullah. Padahal tatkala kami masih di muara-muara, banyak benar yang menghalangi. Datang syeikh fulan dan sudah jauh di bawah mutaakhirin (kebelakang), bahkan mutaakhiril mutaakhirin (kebelakang dari yang belakang) melarang keras! Jangan pergi ke hulu. Jangan! Haram! Padahal kami tidak mahu dihalang-halangi lagi. Maka dituduhlah kami sesat, siapa kita yang sesat?

Ulasan: Apa pun kita patut henti tuduh menuduh seperti zaman lepas. Cukuplah sejarah lepas. Jangan berulang. Hidupkan persaudaraan sesama muslim.

SESIAPA YANG BERMINAT BOLEH MENDAPATKAN BUKU TERSEBUT DAN MEMBACA KESELURUHANNYA.

erti

Dari grup sunnah Thtl : Salaf= moyang, pendahulu, pioneer. Mcm salaf kuala lumpur (peneroka awal KL) Salafussoleh= generasi 1-300 tahun pert...