Kejatuhan Melaka di tangan Portugis dan Perang Salib adalah fakta sejarah. Ia wajar dikaji untuk mendalamkan pengetahuan tentang perkara lalu.
Tetapi usah jadikan fakta itu sebagai alat untuk memainkan sentimen orang Melayu dan Islam bagi membenci orang Kristian. Walaupun dengan tujuan meraih undi bagi mendapatkan kuasa.
Orang yang ada hari ini lahir sekitar tahun 1940-an dan selepasnya, sangat jauh dari tahun 1511 dan Zaman Pertengahan yang mana berlaku gerakan Salibiah, the Crusade.
Kesultanan Melaka sudah tiada. Portugis sudah lama meninggalkan Melaka. Negeri Melaka Darulazim sudah merdeka dan penduduknya warga negara Malaysia. Benderanya ada bulan sabit.
Penduduk Melaka sekarang lebih bebas daripada penduduk Melaka zaman Kesultanan Melaka. Mereka boleh mengundi dan menentukan Ketua Menteri dan kerajaan negeri.
Dalam negeti Melaka, terdapat pelbagai penganut agama termasuk Kristian yang hidup harmoni.
Sememangnya yang memerintah Melaka pada zaman kesultanan dulu adalah Melayu. Tetapi banyak orang Melayu di Malaysia hari ini tiada kaitan dengan Melayu zaman kesultanan Melaka. Melayu hari ini antaranya hasil perkahwinan pelbagai bangsa di dunia termasuk Arab, Turki, Cina dan India. Sementara banyak orang Melayu adalah keturunan daripada pelbagai kaum dari seluruh Nusantara iaitu Jawa, Bugis, Minang, Mandailing, Rawan Banjar, Boyan, Aceh dan lain-lain.
Islam zaman Kesultanan Melaka dan zaman Malaysia juga berbeza. Islam Malaysia lebih tersusun dan jelas dengan ada banyak ulama.
Perang Salib juga sudah lama berlalu. Kini Baitulmakdis bukan di bawah penguasaan Islam atau Kristian. Ia berada di bawah penguasaan Yahudi. Orang Islam dan Kristian kini tidak berperang berebut Baitulmakdis. Yang berperang hanyalah Hamas lawan Israel.
Negara yang dahulunya mempelopori Perang Salib iaitu England, Perancis dan Jerman kini bukan negara rasmi Kristian. Mereka adalah negara sekular. Orang Eropah sekarang tiada kaitan dengan Perang Salib. Di kalangan warga negara Britain, Perancis dan Jerman terdapat banyak orang Islam yang turut menyertai proses politik mereka.
Jangan memainkan sentimen untuk membenci orang Kristian. Di negara ini terdapat banyak orang Kristian di kalangan kaum Cina, India, Serani, Iban dan Kadazan. Mereka adalah warganegara Malaysia yang mempunyai hak sama. Mereka juga tiada kaitan dengan gerakan Crusade.
Hidup di Malaysia adalah perkongsian pelbagai anutan agama. Majoriti berkongsi dengan minoriti.