HUKUM TIDAK TERIKAT DENGAN MAZHAB
Soalan: Dr Asri, saya membaca buku Fekah as-Sunnah karangan Sayyid Sabiq. Saya amat tertarik dengan perbahasan buku tersebut yang mengambil kira pendapat berbagai mazhab. Tapi, kawan saya melarang membaca buku tersebut. Dia memberitahu saya bahawa pendapat yang tidak mengikut Mazhab Shafie adalah sesat. Saya keliru, sebab saya juga diberitahu buku Fekah as-Sunnah diterima di seluruh dunia. Bolehkah Dr Asri huraikan masalah ini?
Kamaruzaman, Kuala Selangor.
Jawapan Dr MAZA: Saudara, wajib bagi kita umat Islam menghormati imam-imam akidah dan fekah dari semua aliran mazhab Islam yang muktabar. Sikap menyesatkan aliran mazhab fekah yang lain adalah sikap fanatik dan melampaui batas. Merujuk kepada masalah yang dikemukakan, saya tegaskan perkara-perkara berikut;
1. Kitab Fekah as-Sunnah adalah rujukan yang baik. Ia ditulis oleh tokoh ilmuwan besar al-Imam Sayyid Sabiq r.h atas cadangan al-Imam Hasan al-Banna r.h. Tujuan buku tersebut ditulis antaranya untuk membebaskan sikap fanatik mazhab yang wujud dalam kalangan umat Islam. Sebab itu adanya kata aluan Hasan al-Banna pada buku tersebut. Sayyid Sabiq sendiri menjelaskan tujuan bukunya untuk menghapuskan taksub mazhab dan khurafat yang menganggap bahawa pintu ijtihad telah tertutup. Buku ini amat baik untuk bacaan. Ia telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa. Sebahagian hadis dalam buku diberi komentar oleh al-Albani dalam bukunya Tamam al-Minnah.
2. Bermazhab dalam fekah itu bukan satu kesalahan. Namun fanatik mazhab adalah menyanggahi syarak. Imam-imam mazhab yang mulia seperti para imam yang empat dan selain mereka melarang sikap fanatik mazhab. Fanatik mazhab dalam ertikata berpegang dengan sesuatu pandangan dalam masalah fekah secara keras dan enggan melepaskannya sekalipun dirinya mengetahui bahawa pandangan tersebut salah, atau tidak berasas atau lemah, atau menyanggahi dalil syarak yang lebih kuat dan ada pendapat lain yang lebih benar atau kuat. Prof Dr. Muhammad Raft ‘Uthman menyebut:
“Taksub mazhab adalah sesuatu yang dibenci dan dilarang di sisi syarak. Ini kerana maksud taksub mazhab ialah seseorang beriltizam dengan pendapat tertentu dalam masalah syarak dan enggan berubah, sedangkan dalam masa yang sama –antara dirinya dengan Allah azza wajalla- dia sedar pendapat tersebut tidak sahih, atau lemah, dan mazhab lain, atau ahli fekah lain telah memberikan pendapat yang sahih. Namun dia meninggalkan pendapat yang sahih tersebut dan mempertahankan pendapat yang lemah lagi bertentangan dengan yang sahih. Ini sikap yang dikecam di sisi syarak, kerana seseorang itu wajib beramal dengan apa yang dia yakin benar dari segi dalil dan kesahihannya. Seseorang tidak boleh berpegang dengan sesuatu pandangan sedangkan dia tahu pandangan itu lemah, atau tidak sahih. (lihat: al-Ta’asub al-Mazhabi Atharuhu ‘Ala al-Mazahib al-Islamiyyah, http://www.al-forqan.net)
3. Mengikut sesuatu mazhab seperti Mazhab al-Syafi’i atau Hanafi atau Hanbali atau Maliki selain mereka dari kalangaan imam-imam yang muktabar bukan satu kesalahan, namun bukan juga satu kewajipan untuk seseorang menentu diri mesti sentiasa terikat dengan mazhab tertentu. Seseorang muslim wajib menghormati para imam dan juga pandangan-pandang mereka. Namun, kita dilarang untuk taksub yang menghalang kita untuk meneliti atau memahami pendapat yang pelbagai dari mazhab-mazhab Islam tersebut. Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut:
“Perkara yang penting untuk anda mengetahuinya bahawa hukum orang awam mengikut salah seorang imam-imam mazhab ialah harus dengan syarat-syaratnya. Ianya bukan sesuatu yang wajib seperti yang dikatakan oleh golongan mutakhir. Ini kerana tiada kewajipan kecuali apa yang diwajibkan oleh al-Kitab dan al-Sunnah. Al-Quran dan al-Sunnah tidak mewajibkan seseorang terikat dengan mazhab. Maka tidak menjadi halangan untuk seseorang muslim bebas dari terikat dengan mana-mana mazhab. Dia boleh bertanya berkaitan agamanya kepada sesiapa sahaja di kalangan ulama. Tanpa perlu terikat dengan seseorang ilmuan sahaja tanpa bertanya orang lain. Inilah jalan para sahabah dan sesiapa yang mengikuti mereka dengan cara yang baik pada zaman sebaik-baik kurun. Allah telah selamatkan mereka dari taklid yang dicerca ini. Sebaik-baik manusia untuk bebas dari terikat dengan mazhab ialah sesiapa yang baru menganut Islam. Maka tiada kepentingan mewajibkannya apa yang tidak diwajibkan Allah ta’ala. Dia boleh bertanya sesiapa sahaja dari kalangan ulama yang dia mahu. Wajib ditulis untuk mereka buku-buku fekah yang memudahkan tanpa terikat dengan mazhab tertentu”.( Al-Qaradawi: Dr Yusuf, Kaif Nata’amal Ma’ al-Turath, m.s. 83-84, Kaherah: Maktab Wahbah).
4. Beraliran mazhab tertentu seperti orang Malaysia beraliran Mazhab al-Syafi’i, Pakistan beraliran Hanafi, Morocco beraliran Maliki dan Saudi beraliran Hanbali, tidak menjadi masalah. Namun yang menjadi masalah keengganan untuk akur kepada dalil yang diyakini dan sikap sudah menuduh orang yang beraliran lain sebagai sesat. Dr Wahbah al-Zuhaili dalam bukunya Al-Rukhas al-Syar’iyyah meletakkan satu tajuk: Adakah beriltizam dengan mazhab tertentu perkara yang dituntut syarak?. Beliau menyebut tiga pendapat. Namun beliau telah mentarjihkan (memilih) pendapat yang menyatakan tidak wajib. Kata beliau:
“Kata mijoriti ulama: Tidak wajib bertaklid kepada imam tertentu dalam semua masalah atau kejadian yang berlaku. Bahkan harus untuk seseorang bertaklid kepada mana-mana mujtahid yang dia mahu. Jika dia beriltizam dengan mazhab tertentu, seperti mazhab Abu Hanifah, atau al-Syafi’i atau selainnya, maka tidak wajib dia berterusan. Bahkan boleh untuk dia berpindah-pindah mazhab. Ini kerana tiada yang wajib melainkan apa yang diwajibkan Allah dan RasulNya. Allah dan RasulNya tidak pula mewajibkan seseorang bermazhab dengan mazhab imam tertentu. Hanya yang Allah wajibkan ialah mengikut ulama, tanpa dihadkan hanya tokoh tertentu, dan bukan yang lain. Firman Allah: (maksudnya):” Maka bertanyalah kamu kepada Ahl al-Zikr jika kamu tidak mengetahui. Ini kerana mereka yang bertanya fatwa pada zaman sahabah dan tabi’in tidak terikat dengan mazhab tertentu. Bahkan mereka bertanya sesiapa sahaja yang mampu tanpa terikat dengan hanya seorang sahaja. Maka ini adalah ijmak (kesepakatan) dari mereka bahawa tidak wajib mengikut hanya seseorang imam, atau mengikut mazhab tertentu dalam semua masalah. Kemudian, pendapat yang mewajibkan beriltizam dengan mazhab tertentu membawa kepada kesusahan dan kesempitan, sedangkan mazhab adalah nikmat, kelebihan dan rahmat. Inilah pendapat yang paling kukuh di sisi ulama Usul al-Fiqh…Maka jelas dari pendapat ini, bahawa yang paling sahih dan rajih di sisi Ulama Usul al-Fiqh adalah tidak wajib beriltizam dengan mazhab tertentu. Harus menyanggahi imam mazhab yang dipegang dan mengambil pendapat imam yang lain. Ini kerana beriltizam dengan mazhab bukan suatu kewajipan –seperti yang dijelaskan-. Berdasarkan ini, maka pada asasnya tidak menjadi halangan sama sekali pada zaman ini untuk memilih hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh mazhab-mazhab yang berbeza tanpa terikat dengan keseluruhan mazhab atau pendetilannya”. (Al-Zuhaili, Dr Wahbah, al-Rukhas al-Syar’iyyah, m.s. 17-19, Beirut: Dar al-Khair).
5. Maka, elakkanlah fanatik mazhab. Dalam masa yang sama kita menghormati para imam mazhab atas limpahan kesarjanaan mereka. Dr al-Qaradawi menjelaskan:
“Kebebasan kita dari sikap keras dalam bertaklid dan taksub mazhab tertentu tidak bermaksud kita mencerca mazhab-mazhab, atau menghina kedudukan para imam r.ahum. Ini tidak mungkin untuk dilakukan oleh seorang muslim yang mencium haruman ilmu. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah telah mengarang kitab yang bernilai lagi masyur mengenai hal ini iaitu Raf’u al-Malam ‘an al-Immah al-A’lam (رفع الملام عن الأئمة الأعلام) yang mana diterangkan dalamnya keuzuran buat para imam apabila mereka meninggalkan hadis. Beliau menjelaskan bahawa tiada seorang pun dalam kalangan mereka yang sengaja menyanggahi RasululLah s.a.w., atau cuba berpaling dari sunnah baginda yang thabit...Namun yang kita maksudkan kebebasan dari mazhab ialah: seorang ahli fekah tidak mengikat dirinya dengan ikatan yang tidak diwajibkan oleh Allah dan RasulNya. Maka dia hendaklah mengambil pandangan dari mana-mana mazhab sekalipun, yang didapati lebih kuat hujahnya berdasarkan penilaian syarak”. (Al-Qaradawi, Taisir al-Fiqh li al-Muslim al-Mu’asir, m.s. 36).